top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Liga Super: Kedah ke tangga kedua selepas elak diaib UiTM

9 September 2021

KEDAH 3 UiTM 3


Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat pasukan di tangga tercorot, UiTM FC, 3-3 di Stadium Darul Aman malam tadi.


Bagaimanapun, mereka masih terikat 40 mata dengan pasukan di tangga ketiga, Penang FC, dan hanya berkelebihan daripada segi jaringan menjelang perlawanan terakhir hujung minggu ini.


Aksi di Alor Setar menyaksikan tuan rumah bermula baik untuk berada di depan menerusi jaringan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, yang menanduk masuk hantaran lencong Azamuddin Akil pada minit ke-37.


Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan selama tiga minit sebelum UiTM memperoleh sepakan penalti gara-gara Renan Alves menjatuhkan Sean Giannelli dan kesempatan itu dimanfaatkan pemain import, Dennis Buschening, untuk mengikat kedudukan sebelum ke bilik persalinan.


UiTM memberikan Kedah igauan paling ngeri dalam tempoh 19 minit pertama babak kedua, di mana mereka berada di depan sebaik dua minit perlawanan bersambung apabila Kwon Young Hyun memanfaatkan kesilapan hantaran Alves untuk merobek gawang Shahril Saa'ri.


Ariff Ar-Rasyid Ariffin kemudian memberikan bayangan bahawa UiTM bakal memperoleh kemenangan ketiga musim ini dengan memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang Kedah untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-64.


Namun, percaturan bijak jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, memasukkan Fandi Othman dan Fikhri Zulkiflee ternyata membuahkan hasil apabila sentuhan pertama kedua-dua pemain itu mencetuskan jaringan kedua Kedah yang disudahkan dengan tandukan Fikhri pada minit ke-74.


Ayam tambatan, Tchhetche Kipre, memastikan Kedah tidak menamatkan perlawanan itu tanpa sebarang mata sebaik menemui lambungan jarak jauh Rizal Razali untuk menewaskan penjaga gol, Zamir Selamat, pada sembilan minit terakhir.


Satu mata yang diraih Kedah itu menyaksikan saingan merebut gelaran naib juara Liga Super musim 2021 kekal terbuka sehingga perlawanan terakhir, di mana mereka akan bertemu Melaka United di gelanggang sama manakala Penang pula akan menantikan kunjungan Terengganu FC hujung minggu ini.


UiTM, yang sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan, perlu menang ke atas Sri Pahang FC sambil mengharapkan Perak FC keciciran mata menentang Sabah FC seandainya tidak mahu menamatkan kempen di tangga tercorot.

bottom of page