top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Lionel Messi lembaran baru buat PSG - Nasser Al-Khelaifi

11 Ogos 2021

LIONEL Messi akan membantu Paris Saint-Germain (PSG) memahat sejarah baru, menurut Pengerusi dan Ketua Eksekutif PSG, Nasser Al-Khelaifi.


Kelab yang berpangkalan di ibu kota Perancis itu mendatangani ketua pasukan Argentina terbabit selepas penyerang tersebut gagal mencapai kesepakatan baru dengan Barcelona ​​yang berdepan masalah kewangan di celah-celah komplikasi dengan LaLiga.


Pemain berusia 34 tahun itu kemudian memutuskan untuk berkelana ke Parc des Princes selepas meledak 672 gol dalam 778 penampilan untuk bekas kelabnya di Sepanyol berkenaan, sekali gus bakal meningkatkan potensi serangan PSG yang sudah pun dianggap luar biasa.


Sebaik mengesahkan kedatangan Messi malam tadi, Al-Khelaifi berkata: "Saya gembira kerana Lionel Messi memilih untuk bergabung dengan Paris Saint-Germain dan kami dengan bangga mengalu-alukannya dan keluarganya ke Paris.


"Dia tidak menyembunyikan hasratnya untuk terus bersaing di peringkat tertinggi dan memenangi trofi, secara semula jadinya cita-cita kami sebagai kelab adalah untuk melakukan hal yang sama.


"Penambahan Leo dalam skuad berkelas dunia kami ini akan menjadi jendela perpindahan yang sangat strategik dan berjaya untuk kelab. Diketuai oleh pengurus dan barisan kakitangannya yang cemerlang, saya berharap mereka dapat melakar sejarah bersama peminat kami di seluruh dunia."


Messi bakal bergabung semula dengan bekas rakan sepasukan di Barca, Neymar, untuk membentuk tiga penggempur berbisa termasuk bintang Perancis, Kylian Mbappe.


Dengan sudah mendapatkan Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma dan Georginio Wijnaldum selain Achraf Hakimi, tetapi perpindahan bersejarah Messi itu membawa pasukan kendalian Mauricio Pochettino tersebut ke satu tahap yang baru.


Selepas mahkota Ligue 1 dirampas Lille musim lalu, PSG memulakan usaha mereka untuk merebut kembali gelaran itu dengan kemenangan 2-1 di Troyes, hujung minggu lalu, sambil menaruh harapan bahawa kehadiran Messi mampu mencetuskan inspirasi kepada mereka untuk meraih kejayaan pertama dalam Liga Juara-Juara (UCL).


Messi telah memenangi empat gelaran UCL bersama Barcelona selain 10 kejuaraan LaLiga.


Penyerang itu juga membimbing Argentina untuk meraih kejayaan Copa America sejak 1993 dengan menjaringkan empat gol untuk merangkul trofi antarabangsa senior pertamanya pada bulan lalu.



--AWANI

bottom of page