top of page
  • newsatmy

Liverpool fikir dua kali beli pemain belum divaksin - Klopp

19 Disember 2021

JURGEN Klopp mengakui amat sukar bagi Liverpool untuk menandatangani pemain yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 kerana percaya mereka akan menjadi "ancaman berterusan" kepada skuadnya.


Klopp bersuara lantang mengenai kepentingan orang ramai agar mendapatkan vaksin di tengah-tengah peningkatan ketara jangkitan di United Kingdom yang dipacu oleh varian Omicron.


Jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) telah terganggu teruk pada minggu ini dengan lima daripada enam perlawanan ditangguhkan kerana penularan pandemik itu dalam kalangan pasukan.


Trio Liverpool, Virgil van Dijk, Fabinho dan Curtis Jones juga disyaki dijangkiti dan terlepas aksi dalam kemenangan ke atas Newcastle United minggu ini walaupun pertembungan The Reds dengan Tottenham pada awal pagi esok dijangka diteruskan.


Penggunaan vaksin sangat meluas dalam kem Liverpool dan Klopp percaya cabaran untuk membawa masuk pemain tanpa sebarang bentuk perlindungan adalah terlalu berisiko.


"Kami tidak hampir untuk menandatangani sebarang pemain tetapi saya memikirkannya dan ya, faktor vaksinasi akan memainkan peranan," katanya.


"Jika seseorang pemain tidak mendapatkan vaksin maka dia adalah ancaman berterusan untuk kita semua. Dia tidak boleh menjadi ancaman. Bukan disebabkan individu itu tidak mempedulikan nasib yang lain, sebaliknya dia merupakan ancaman dan kami perlu memilih senario yang berbeza.


"Dia perlu menukar pakaian di bilik persalinan yang berbeza, makan di ruang makan yang berbeza, duduk di dalam bas yang berbeza, perlu memandu dalam kereta yang berlainan, daripada sudut organisasi, ia menjadi sangat kucar-kacir.


"Jika seseorang pemain mendapat COVID-19 dan pemain yang tidak divaksin itu berada di sekelilingnya dalam empat hari terakhir, maka dia akan perlu dikuarantin.


"Jika kami perlu bertandang ke negara lain untuk perlawanan antarabangsa dan apabila kembali, dia juga perlu menjalani kuarantin. Sudah tentu ia akan mempengaruhi perancangan kami.


"Malah, kami perlu membina bangunan tambahan untuk pemain yang tidak divaksinasi, tetapi ia tidak akan berlaku."


Comentários


bottom of page