top of page
  • newsatmy

Lukis potret 'Negarawan Johor' bukan arahan kerajaan negeri


JOHOR BAHRU 11 Ogos: Kerajaan negeri menafikan ada mengarahkan sekolah-sekolah di Johor menganjurkan Pertandingan Melukis Potret Negarawan Johor yang memaparkan muka Menteri Besar Johor dan barisan exco kerajaan negeri.


Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh menjelaskan, pertandingan seumpama itu yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan adalah insiatif sekolah terbabit dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.


"Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri Johor tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk menjalankan pertandingan ini. "Semakan pihak kami mendapati bahawa program ini dijalankan atas inisiatif pihak sekolah berkenaan sebagai pengisian bulan kemerdekaan untuk pelajar mereka.

"Selaku Exco pendidikan saya menghargai sikap proaktif guru-guru dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan serta meraikan bakat pelajar Pendidikan Seni Visual," katanya dalam entri terbaharu Facebook miliknya, pada Rabu.


Sejak Rabu, tular poster pertandingan itu yang dianjurkan di sebuah sekolah menengah di Johor, dengan menonjolkan Menteri Besar Johor dan empat Exco kerajaan negeri termasuk Norliza sebagai negarawan Johor.


Poster itu antaranya mendapat perhatian bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang secara sinis mempersoalkan mengapa 'watak-watak' politik perlu dilukis di sekolah.


Wee Tse berharap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang akan menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.


Norliza berpendapat, penggunaan istilah 'negarawan Johor' dalam poster yang ditularkan itu adalah amat tidak sesuai untuk dirujuk kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang masih berkhidmat.

"Saya memahami bahawa kesilapan ini telah memberikan imej buruk kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor khususnya," katanya.


Beliau berharap, isu itu tidak dipanjangkan dan menjadi bahan politik hingga menjejaskan pihak guru serta sekolah yang terlibat.

"Kerajaan negeri Johor sentiasa menyokong usaha meningkatkan kemahiran dan menggilap bakat pelajar," katanya.


bottom of page