top of page
  • Writer's pictureNihaba

Mahkamah tolak cubaan Puad ketepi injunksi dalam saman Muhyiddin

26 November

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohd Puad Zarkashi untuk mengetepikan perintah larangan yang dikaitkan dengan tindakan mahkamah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Hakim Mohd Firuz Jaffril pagi ini memutuskan mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan daripada pasukan peguam ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk menghapuskan injunksi berkenaan.

Katanya Mohd Puad telah pun mematuhi perintah injunksi untuk menghapuskan hantaran Facebook yang dipertikaikan, yang mendorong tindakan saman diambil Muhyiddin.


Muhyiddin sebagai plaintif pula tidak hadir.

Pada 1 Mac lalu Muhyiddin - yang menjadi perdana menteri ketika itu - memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Puad berhubung hantaran terbabit.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga memperoleh injunksi terhadap defendan pada hari yang sama, sementara menunggu pelupusan saman utama.

Beberapa hari kemudian, Mohd Puad menurunkan hantaran berkenan sebagai mematuhi injunksi interim mahkamah yang diperoleh Muhyiddin berhubung saman yang sedang berjalan.

Kemudian pada 5 Mac pula, Mohd Puad memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi itu.

Muhyiddin memohon perintah mahkamah supaya Mohd Puad menerbitkan permohonan maaf secara terbuka di Facebook rasminya dan bagi memastikan permohonan maaf itu disiarkan portal berita dan media sosial yang menyiarkan hantaran terbabit.

Dia juga menuntut kos dan sebarang pampasan lanjut yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaannya, Mohd Puad berhujah hantaran di Facebook itu itu tidak pernah merujuk kepada Muhyiddin, sama ada dalam kapasiti peribadi atau rasmi.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi juga menetapkan 9 Dis ini untuk pengurusan kes saman tersebut.

Comments


bottom of page