top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Mahkamah tolak permohonan peguam Najib tarik diri


PUTRAJAYA, 18 Ogos – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir dimulakan dengan pihak pendakwaan terlebih dahulu mengemukakan hujahan.


Terdahulu, sebelum mahkamah berhenti rehat, Hisyam Teh memohon menarik diri daripada mewakili Najib jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan.

Beliau sebelum itu sekali lagi merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

“Ini akan menyedihkan buat saya kerana saya tidak pernah melakukan perkara ini sepanjang 45 tahun berkhidmat sebagai peguam,” katanya.


Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak ada sebarang alasan untuk menyemak keputusan sebelum ini yang menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding itu.

Beliau berkata pada peringkat ini, mahkamah masih menganggap Hisyam sebagai peguam Najib sehinggalah beliau menarik diri mengikut prosedur dengan mengemukakan afidavit sokongan mengapa beliau mengambil tindakan sedemikian.


Tengku Maimun menyoal Hisyam sama ada beliau menyedari sebagai mahkamah tertinggi, ia ada bidang kuasa untuk memastikan bahawa operasi mahkamah dan sistem keadilan berjalan dengan sewajarnya.


Hisyam menjawab, beliau menyedarinya, oleh sebab itu beliau merayu panel memberikan kebenaran kepadanya masa yang munasabah untuk mengemukakan hujahan rayuan dengan teratur.


Tengku Maimun kemudian berkata, Hisyam memerlukan keizinan daripada mahkamah untuk menarik diri.

“Sehingga itu, selepas kamu mengemukakan permohonan dengan disertai afidavit sokongan, kamu masih peguam perayu dalam rekod (mahkamah). Kamu tidak boleh meninggalkan anak guam kamu dengan tidak diwakili. Kami yakin kamu boleh mengendalikan rayuan ini,” katanya.


Bagaimanapun Hisyam tetap dengan pendiriannya bahawa beliau tidak bersedia jika penangguhan tidak dibenarkan.

Selepas ditanya Tengku Maimun apa yang berlaku kepada rayuan ini, Hisyam berkata; “Saya tidak tahu apa lagi hendak dicakapkan.”

bottom of page