• Nizam

Majikan Perlu Tanggung Kos Bawa Masuk Pekerja Asing

26 Oktober-PUTRAJAYA

Majikan yang berminat untuk menggajikan pekerja asing perlu menanggung semua kos berkaitan untuk membawa mereka masuk ke Malaysia, antaranya meliputi kadar bayaran levi dan kos kuarantin wajib setelah mereka tiba di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketibaan semua pekerja asing hanya dibenarkan melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 serta pintu masuk Sabah dan Sarawak yang akan ditetapkan kemudian nanti.


Bercakap dalam sidang selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini hari ini beliau berkata, pekerja asing juga perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari di pusat kuarantin yang diperakui oleh kerajaan.

Pada 22 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikannya telah meluluskan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan sektor perladangan, seterusnya sektor lain yang dibenarkan.

SOP kemasukan pekerja asing turut merangkumi empat peringkat iaitu praperlepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.

Mengenai Program Rekalibrasi Pulang, Hamzah berkata 147,705 pendatang tanpa izin telah berdaftar untuk program berkenaan setakat 21 Okt lepas, dan seramai 124,423 daripada jumlah itu telah pulang ke negara asal.

“Kerajaan telah menjana RM71 juta daripada pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang ini melalui bayaran kompaun yang dikutip,” katanya dan menambah kejayaan kutipan itu didorong oleh pembukaan kaunter khas untuk memudah cara kepulangan mereka di beberapa pintu keluar negara iaitu di KLIA, klia2, Stulang Laut dan Pasir Gudang di Johor.


Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula, Hamzah berkata seramai 212,926 pendatang tanpa izin telah berdaftar untuk diregularisasikan sebagai pekerja asing yang sah, dengan 34,318 individu lulus verifikasi manakala 20,889 lagi gagal.

“Seramai 157,719 pendatang tanpa izin masih belum hadir proses verifikasi di Jabatan Imigiresen. Peserta yang gagal dalam proses regularisasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan secara automatik dihantar pulang melalui Program Rekalibrasi Pulang,” katanya.

Menurutnya antara sebab mereka gagal di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu adalah faktor had umur, memandangkan pekerja asing yang ingin bekerja di Malaysia ditetapkan berumur bawah 45 tahun, dan mereka dibenarkan bekerja sehingga usia 55 tahun.

Hamzah berkata berkata kutipan wang cagaran untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang terkumpul sehingga 20 Okt lepas adalah sebanyak RM106 juta, manakala kutipan hasil bagi program itu adalah RM4.15 juta merangkumi fi rekalibrasi, levi, pas, visa dan fi proses.

Pendaftaran tertinggi di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja adalah dari sektor pembinaan iaitu sebanyak 122,075 permohonan, diikuti sektor perkilangan (65,484), dan pertanian (12,003), katanya.

Beliau berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dilaksanakan sehingga 31 Dis ini, dan dibuka kepada semua sektor, kecuali sektor yang dibekukan sebelum ini, yang melibatkan subsektor seperti perkhidmatan dobi, tekstil, tukang gunting rambut, tukang emas, barangan logam dan lusuh, dan penjagaan dan perkhidmatan komuniti.