top of page
  • newsatmy

"Mak Wan tidak berduit, tiada harta, tidak perlu jatuhkan dia"

Gempak: Ogos 2


PELAKON Didie Alias berkongsi perkembangan terkini pelakon Halimatussa’diah Mohd. Daud, 61, atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Wan Latah setelah mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak pada 28 Julai lalu atas tuduhan meludah pembanti peribadinya, bulan lalu.

Menurut Didie, Mak Wan berbuat demikian kerana dia percaya pelakon senior itu mahu menjaga maruah diri dan reputasi sebagai seorang pelakon.


“Saya ada hubungi Mak Wan selepas dia ke mahkamah tempoh hari. Menerusi panggilan itu juga dia masih tidak mengaku bersalah untuk menjaga maruah dan reputasinya. Saya faham kenapa dia berbuat demikian. “Memang ada sembilan saksi daripada pihak sana, tetapi adakah mereka sediakan bukti yang mengatakan Mak Wan meludah pembantu peribadinya itu?” katanya kepada Gempak.

Menurut Didie, dia sendiri tidak faham mengapakah pihak sebelah sana masih mahu meneruskan tindakan undang-undang kepada Mak Wan, walaupun isu berkenaan bukanlah satu isu yang besar.


“Besar sangat ke isu ini untuk dipanjangkan? Tak tahulah pihak sebelah sana tak puas hati ke sebab saya tak pergi berjumpa dengannya? Itu saya tak pasti.

“Saya pun tak faham kenapa dia nak jatuhkan Mak Wan. Mak Wan bukan level artis popular yang kau nak jatuhkan. Hentikanlah benda mengarut ini. Bukan saya nak raih simpati sebab saya hanya jadi pendengar dan penasihat sahaja.

“Apa yang dia akan dapat kalau lawan kes ni? Mak Wan tak ada duit, tak ada harta. Dia hanya ada kasih sayang untuk anak-anak dia sahaja. Tak payahlah buat orang tua tu sampai terduduk ke tanah,” katanya lagi.


Terdahulu, mengikut kertas pertuduhan, Mak Wan didakwa sengaja meludah Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di Lorong Haji Wahab, Kampung Titi Kasai Batu Kurau pada pukul 7 petang, 24 Jun lalu.


Pelakon veteran itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 5 September 2022 untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.


Konflik antara pelakon drama itu dengan bekas pembantu peribadinya dikenali Amell itu mendapat perhatian umum sejak Jun lalu ekoran pendedahan wanita tersebut menerusi beberapa video tentang Mak Wan di akaun TikToknya.


Menerusi video berkenaan, pelakon itu didakwa sebagai seorang yang panas baran.

Kes itu berlarutan apabila pelakon veteran tersebut mendakwa menjadi mangsa pukul Amell yang dikatakan membabitkan isu duit.


Bekas pembantu pelakon itu bagaimanapun dilaporkan berkata, dia bertindak demikian selepas Mak Wan meludahnya apabila dia bertanyakan satu soalan yang tidak boleh diterima tertuduh.

Artikel asal disiarkan di Gempak.

Comments


bottom of page