top of page
  • newsatmy

Malaysia ambil serius kes penderaan pekerja asing


KUANTAN, 5 Sept – Malaysia mengambil serius dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melakukan salah laku terutamanya penderaan atau penganiayaan terhadap pekerja asing termasuk pekhidmat domestik Indonesia (PDI).


Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata Kementerian Luar telah menyampaikan pendirian kerajaan Malaysia itu kepada Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Hermono.

Pendirian dan jaminan kerajaan Malaysia itu juga disampaikan Saifuddin kepada rakan sejawat beliau, Menteri Luar Indonesia Retno LP Marsudi.


“Buat masa ini, Kementerian Luar sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur bagi menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mangsa penderaan itu, serta bagi mendapatkan status terkini siasatan,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kes penderaan yang melibatkan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang didakwa dilakukan oleh majikannya di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.


Katanya Malaysia turut bersedih dan bersimpati terhadap mangsa kes itu.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan dimaklumkan bahawa polis akan memberi keutamaan terhadap kes tersebut.


Pada Jumaat lepas, media melaporkan seorang pembantu rumah warga Indonesia didera oleh majikannya, termasuk didakwa tidak dibayar gaji sejak mula bekerja pada 2019. Difahamkan mangsa kini berada di Hospital Selayang, Selangor untuk rawatan.

Comments


bottom of page