top of page
  • admin

Malaysia patut dapat sepakan percuma – Subkhiddin


KUALA LUMPUR 28 Dis: Malaysia sepatutnya diberikan sepakan percuma manakala keputusan menganugerahkan sepakan penalti kepada Vietnam adalah tidak wajar dalam aksi penuh kontroversi saingan Kumpulan B kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam tadi.


Bekas pengadil kebangsaan Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat pengadil perlawanan, Ryuji Sato perlu merujuk kesalahan pertama Doan Van Hau yang dilihat menolak Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-59 ketika tonggak pertahanan negara mahu mengeluarkan bola dari dalam kawasan bahaya Malaysia.


Menurut beliau, jika insiden berlaku di luar padang dan bola masih dalam permainan, pengadil perlu memulakan semula permainan dengan memberikan sepakan percuma atau jika insiden berlaku di kawasan berhampiran garisan gol dan berhampiran atau sempadan kawasan penalti maka sepakan penalti perlu diberikan.


“Namun, pemain Vietnam dilihat melakukan satu reckless challenge (cabaran melulu) terhadap pemain Malaysia dan dia (Van Hau) sepatutnya dipersalahkan terlebih dahulu kerana bola masih dalam permainan…pada pandangan saya pengadil perlu memberikan sepakan percuma kepada pasukan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Kontroversi tercetus apabila Sato menganugerahkan sepakan penalti kepada tuan rumah dan turut melayangkan kad merah kepada Muhammad Azam pada minit ke-62 selepas pengadil dari Jepun itu mendakwa pemain muda Terengganu FC telah melakukan kekasaran ke atas Van Hau di luar padang.


Kesempatan itu digunakan sebaiknya Que Ngoc Hai untuk menggandakan jaringan selepas Nguyen Tien Linh meletakkan pasukan di depan pada separuh masa pertama sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 hasil penyudah Nguyen Hoang Duc menghampiri masa penuh.


Subkhiddin yang juga tenaga pengajar teknikal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkata layangan kad merah kepada Muhammad Azam wajar diberikan setelah beliau dilihat membuat tindakan balas selepas ‘dirempuh’ Van Hau.


“Tindakan retaliation (balas dendam) atau tindak balas boleh dikenakan kad merah namun perlawanan perlu dimulakan semula berdasarkan kesalahan pertama pemain tuan rumah,” katanya.


Sementara itu, Subkhiddin berharap agar skuad kendalian Kim Pan Gon segera melupakan episod hitam di Hanoi dan bangkit semula menentang Singapura pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 Jan depan dalam usaha melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan dilabel Piala Dunia ASEAN itu.


Katanya, pemain tidak perlu bersedih dengan kekalahan kepada skuad Golden Star Warriors semalam dan mahu menyaksikan mereka terus bermain berpandukan taktikal oleh pengendali dari Korea Selatan dalam pertembungan ‘Causeway Derby’ selepas ini.


Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia gagal menamatkan kemarau tanpa kemenangan ke atas juara dua kali Piala AFF itu sejak 2014 – tewas tujuh dan seri sekali, sementara kejayaan malam tadi membolehkan Vietnam mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.


Malaysia kini menduduki tangga kedua selepas mengumpul enam mata diikuti Singapura yang baru melengkapkan dua perlawanan di tempat ketiga (enam mata) manakala Myanmar dan Laos tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata. – BERNAMA

Comentários


bottom of page