top of page
  • newsatmy

Malaysia sifatkan laporan Jabatan Negara sebagai subjektif


KUALA LUMPUR,3 Ogos – Malaysia menyifatkan penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (Jabatan Negara) mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan negara pada Tahap 3, sebagai subjektif.


Ini kerana, laporan berkenaan bukan hanya berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kerajaan Malaysia, sebaliknya membabitkan mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO).


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin(PN), berkata penilaian itu juga berpandukan perundangan Amerika Syarikat bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA).


Beliau berkata, TVPA itu ada kalanya terdapat perbezaan dengan undang-undang dan amalan diguna pakai di Malaysia dalam konteks tiga elemen penilaian, iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa serta pencegahan.


Selain itu, katanya, laporan itu turut berpandukan pematuhan instrumen antarabangsa seperti Konvensyen PBB mengenai Jenayah Terancang (UNTOC) dan Protokol PBB mengenai Pemerdagangan Orang (Protokol TIP).


“Apabila Malaysia diletakkan pada Tahap 3, ia boleh memberi kesan kepada negara, selain berkemungkinan menjejaskan beberapa pasaran eksport di luar negara apabila terpalit dengan tuduhan penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Jabatan Negara mengenai Pemerdagangan Orang pada sesi penerangan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari selasa


Laporan berkenaan adalah penilaian peringkat global dilakukan Kerajaan Amerika Syarikat yang mengetengahkan empat tahap, iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3 itu dikeluarkan pada 20 Julai lalu.


Penilaian itu dilakukan ke atas 188 negara dalam aspek penguatkuasaan dan pendakwaan, pencegahan serta perlindungan dengan Malaysia dinilai pada Tahap 3, tahun ini.


Hamzah berkata, penilaian itu turut dipengaruhi tindakan pihak tertentu seperti golongan majikan dan pekerja terbabit dalam amalan perburuhan yang melanggar hak asasi manusia, sekali gus menunjukkan semua pihak berperanan memperbaikinya.


Katanya, kerajaan sebagai penguat kuasa dan pelaksana dasar membanteras jenayah pemerdagangan orang di negara ini, bertekad menambah baik penguatkuasaan, meningkatkan pendakwaan serta memperkasa perlindungan kepada mangsa.


Beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan tindakan kerajaan, perkongsian maklumat daripada NGO, CSO, rakyat dan media diperlukan memandangkan sifat jenayah dan modus operandinya yang licik dan berubah-ubah.


Mengenai perihal tiada rumah perlindungan disediakan di utara Semenanjung seperti dinyatakan Laporan Jabatan Negara, Hamzah bagaimanapun menafikannya, selain menjelaskan kemudahan dikendalikan NGO itu ada ditawarkan di Pulau Pinang dan beroperasi sejak 2017.


Secara keseluruhan, katanya, terdapat 10 rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di seluruh negara, masing-masing lapan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta dua lagi dikendalikan NGO.


Beliau berkata, purata peruntukan tahunan bernilai RM5 juta disediakan bagi pengurusan dan operasi lapan rumah perlindungan seliaan kerajaan, manakala dana berjumlah RM4.04 juta turut disediakan bagi pengurusan kemudahan sama kendalian NGO, sejak 2017.


Ahli Parlimen Larut itu turut menafikan dakwaan pegawai khidmat sokongan mangsa (VAS) dihalang menyertai operasi menyelamat dan mengenal pasti mangsa, seperti dinyatakan dalam laporan berkenaan.


Beliau berkata, laporan berkenaan turut memperakukan beberapa usaha signifikan negara dalam membanteras pemerdagangan orang, namun Malaysia masih dianggap tidak mematuhi sepenuhnya piawaian minimum.


Mengambil kira impak pandemik COVID-19, katanya, usaha negara dilihat masih tidak mencukupi berdasarkan aspek negatif dibangkitkan dalam laporan itu, antaranya kekeliruan terhadap jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang menghalang pengenalpastian mangsa.


Penyiasatan kes berkurang; tidak membuat pendakwaan dan sabitan ke atas penjawat awam yang melakukan jenayah pemerdagangan orang; tiada penguatkuasaan dan pendakwaan kepada majikan atau syarikat sektor minyak sawit dan sarung tangan getah yang berdepan tohmahan mengenai amalan buruh paksa serta bilangan mangsa dikenal pasti rendah.


Hamzah berkata, laporan berkenaan menyenaraikan 15 penambahbaikan, termasuk saranan meningkatkan usaha mengenal pasti mangsa dalam kalangan warga China yang bekerja di syarikat berkaitan Kerajaan China di Malaysia.

bottom of page