top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Malaysia sukar bentuk konsensus, kepentingan parti atasi segalanya - Penganalisis politik

9 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia sukar untuk membentuk konsensus untuk mewujudkan kerajaan sementara seperti Belgium dan New Zealand bagi meredakan perang politik ketika mendepani pandemik.


Ini kerana, penganalisis politik, Profesor Madya Hamidin Abd Hamid berkata, walaupun ada cadangan untuk meredakan situasi politik supaya mengekalkan satu kerjasama, namun kepentingan parti dilihat mengatasi segala-galanya.


"Dalam konteks inilah mengapa amat sukar bagi Malaysia untuk mengikut teladan baik yang ditunjukkan oleh New Zealand dan Belgium," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.


Mengulas lanjut, Hamidin berkata, parti-parti politik di kedua-dua negara itu jelas mengetepikan perbezaan mereka dan memikirkan kelangsungan kerajaan ketika berdepan dengan COVID-19.


"Tapi untuk membolehkan perkara itu berlaku, perlu ada kematangan kepimpinan politik dalam parti dan juga ahli-ahli politik," tambahnya lagi.


Menurutnya, apa yang penting pada ketika ini adalah, parti politik seharusnya memikirkan bagaimana perubahan yang berlaku ini tidak menganggu perjalanan landskap negara, yang akhirnya dilihat memberi kesan besar ketika negara berdepan dengan COVID-19.


Katanya, ia penting bagi memastikan inisiatif seperti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diteruskan.


"Jadi seharusnya parti-parti politik duduk bersama-sama dan berbincang bagaimana mereka boleh meringankan beban perubahan yang berlaku," ujarnya.


Belgium pernah melalui pengalaman tidak memiliki kerajaan sebanyak dua kali akibat parti-parti politik tidak dapat membentuk gabungan.


Dalam keadaan itu, seorang perdana menteri sementara ditugaskan untuk mentadbir negara.



--AWANI

Comments


bottom of page