top of page
  • cik skod

Malaysia terpaksa lupakan hasrat beraksi di Piala Asia B-20


KUALA LUMPUR,19 Sept: Skuad Bawah (B) - 19 tahun kebangsaan terpaksa melupakan hasrat beraksi di Piala Asia B-20 tahun depan selepas dibelasah 6-2 oleh Korea Selatan di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF), Ulaanbaatar, pada Ahad.

Pada aksi terakhir Kumpulan E pusingan kelayakan itu, penyerang Suwon FC Lee Youngjun menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Muda, apabila meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-34, 74 dan 81.


Korea Selatan turut berpesta gol menerusi dua jaringan Lee Seungwon pada minit ke-57 dan penalti pada minit ke-88, manakala Bae Junho turut menepati sasaran pada minit ke-50. Malaysia pula merapatkan jurang menerusi jaringan Adam Farhan Faizal pada minit ke-55 dan Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-68, manakala Ubaidullah Shamsul dibuang padang pada minit ke-67 selepas menerima kad kuning kedua.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara gagal menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan dua teratas, selepas Mongolia membelasah Sri Lanka 7-0 pada aksi selepas itu untuk meraih tempat kedua kumpulan berdasarkan jumlah jaringan, walaupun kedua-dua pasukan berkongsi empat mata.


Skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras yang memulakan kempen dengan seri 1-1 menentang Mongolia, sebelum menewaskan Sri Lanka 3-0, mengumpul enam gol, kurang satu berbanding skuad tuan rumah.

Korea Selatan telahpun mengesahkan slot ke kejohanan itu selaku juara kumpulan, selepas berpesta gol 6-0 ke atas Sri Lanka dan 7-0 menentang Mongolia.

Hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik berpeluang layak ke pusingan akhir di Uzbekistan yang dijadual berlangsung bermula 1-18 Mac depan.

-- BERNAMA

bottom of page