top of page
  • Farah

Malaysia ulangi pendirian tak iktiraf Tatmadaw


KUALA LUMPUR 21 Mac: Kementerian Luar mengulangi pendirian Malaysia tidak mengiktiraf rejim Tatmadaw, iaitu angkatan tentera Myanmar, dan akan berusaha mencari penyelesaian menyeluruh serta tuntas bagi konflik negara itu melalui pengukuhan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata Malaysia dan rakan ASEAN lain akan meneruskan tekanan terhadap rejim itu sehingga penyelesaian secara menyeluruh dapat dicapai di Myanmar.



"5PC ASEAN merupakan satu proses bukan hanya perbincangan tetapi juga menekan rejim ini secara bersama dengan rakan-rakan ASEAN yang lain kerana isu yang dihadapi dalam konteks Myanmar ini tidak boleh ditangani secara sendirian. "Kita telah mengadakan pelbagai siri pertemuan... kita akan meneruskan tekanan terhadap mereka supaya akhirnya penyelesaian secara menyeluruh dapat dilaksanakan di Myanmar," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin.

Zambry juga berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan padu dan memperjuang hak rakyat Palestin di semua platform termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).


Beliau berkata ia ke arah mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israe serta pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota.

"Malaysia juga akan sentiasa menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk memberikan tekanan kepada rejim Israel agar menghentikan dasar aparteid serta serangan keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin," katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM809,613,800 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti.

Persidangan dewan bersambung hari ini.

-- BERNAMA

Comentarios


bottom of page