• Arissa Azman

'Mamat nak kembang watak Daud M, sepatutnya mula shooting hujung bulan ni' - Joey

26 OKTOBER 2021

PENYANYI dan pelakon Joey Daud mengakui dia dan Allahyarham Mamat Khalid sepatutnya memulakan penggambaran telemovie terbaharu "Kampung Pisang Berbuah Dua Kali" hujung Oktober ini.


Joey ketika dihubungi Gempak berkata, dia sepatutnya masuk ke set penggambaran bermula 6 November kerana jadual kerja yang agak padat.


“Kali terakhir kami berbual melalui aplikasi WhatsApp dua minggu lalu.


"Abang Mamat bertanya kepada saya bila ‘free’ kerana penggambaran akan dimulakan dalam masa terdekat.


“Saya beritahu beliau yang saya hanya free selepas 3 November dan selepas berbincang, abang Mamat minta saya datang ke set pada 6 November,” katanya yang sepatutnya membawa watak Daud M menerusi telemovie tersebut.


Tambah Joey, Allahyarham ada beritahu kepadanya menerusi "Kampung Pisang Berbuah Dua Kali", watak Daud M akan dikembangkan sebagai pelakon utama.


“Itulah dia Mamat Khalid. Bayangkan watak Daud M ini asalnya cuma sedikit di dalam Kampung Pisang Bersiri-siri, tetapi dia boleh kembangkan sampai jadi watak utama dalam "Kampung Pisang Berbuah Dua Kali".


“Dia boleh jadikan benda biasa sampai jadi luar biasa. Saya sendiri tak pernah sangka Daud M akan viral hanya kerana sebutan pelat ‘M’nya sahaja.


“Satu lagi, Mamat Khalid ini auranya luar biasa. Dia ‘mencipta’ pelakon sehingga orang boleh ingat! Pak Jabit, Hussein, MA Sofi, Kak Limah, Yah Kuchai dan ramai lagi.


“Kalau ‘Mi Kari Kuah Laksa’ yang Yah Kuchai sebut dalam Kampung Pisang Bersiri-Siri pun boleh jadi viral. Aura dia gila!” katanya.


Bagaimanapun kongsi Joey, dia terkilan kerana tidak dapat memenuhi undangan Allahyarham ke Sarang Art Hub baru-baru ini.


“Sepatutnya dua hari lepas saya pergi lepak di Sarang Art Hub dengan dia. Abang Mamat ajak sembang sambil bincang fasal Daud M.


“Tetapi saya tidak sempat ke sana sebab shooting habis lewat,” katanya terkilan.

Dalam pada itu, Joey berharap agar selepas ini lebih ramai pengarah yang melihat bakat berbanding paras rupa atau pun followers di media sosial.


“Mamat Khalid tidak pernah memandang rupa atau followers untuk dipanggil berlakon dalam setiap karya beliau.


“Allahyarham seorang yang genius! Beliau create seseorang daripada berlakon sebagai pelakon tambahan sampai tinggalkan impak.


"Bayangkan hanya Mamat Khalid berani panggil Nasir Jani dan Yeop Hitler yang memang orang tahu garang, berlakon dalam drama beliau dan jadikan mereka cameo! Berlakon watak alien pula tu!


“Kita semua tak pernah terfikir ke tahap itu. Mamat Khalid menjual bakat, bukan populariti.


"Dan dia satu-satunya pengarah yang berani membuat kritikan sosial, sarkastik dan mengangkat semangat perpaduan dalam karya-karya beliau.


“Setiap babak ada maksud tersendiri. Contohnya, kenapa Manap Karaoke menyanyi di jirat Cina? Ada mesej di sebalik babak tersebut.


"Saya harap akan ada penyambung legasi Mamat Khalid selepas ini,” katanya.


Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River 12.30 tengah malam tadi, akibat serangan jantung.


Allahyarham dilaporkan pengsan di restorannya, Sarang Art Hub sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.


Allahyarham sepatutnya memulakan penggambaran telemovie Kampung Pisang Berbuah Dua Kali terbitan bersama Enjit-Enjit Semut Production dan Astro Shaw, tiga hari lagi.



*Artikel asal di Gempak