top of page
zaman

Mampukah Anwar teruskan legasi ekonomi seperti Muhyiddin?


SEJAK menjadi kerajaan pada Disember 2022 yang lalu, kerajaan di bawah Pakatan Harapan dilihat tidak memberikan solusi dan penyelesaian kepada isu-isu rakyat. Ia sangat berbeza ketika mereka menjadi pembangkang yang sentiasa penuh dengan pelbagai formula, cadangan dan kritikan yang dilemparkan kepada pihak kerajaan.


Masa dua minggu yang diberikan kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bukan sahaja melebihi tempohnya, bahkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ke-10 (PMX) itu juga tidak memberikan solusi tuntas kepada permasalahan rakyat. Bukan itu sahaja, kenyataan PMX yang mengatakan sektor penternakan sudah lama mencapai tahap yang mampan juga sangat diragui.


Hal ini kerana ia sangat bertentangan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada September 2022 menyatakan bahawa Kadar Sara Diri (SSR) ataupun permintaan di peringkat domestik bagi daging kambing atau bebiri hanyalah 10.7 peratus manakala SSR bagi daging lembu/kerbau pula hanya 18.9 peratus. Permintaan dalam negara pun tidak mampu, bagaimana mahu dieksport seperti hasil Mesyuarat NACCOL?


Lebih merisaukan, produk seperti telur yang melebihi 100 peratus SSR pula disuruh import untuk menyelesaikan masalah harga telur di dalam negara. Sedangkan kadar SSR telur yang mencapai 114.4 peratus itulah yang perlu dieksport kerana ia melebihi permintaan di dalam negara. Bagaimanakah para menteri ini membaca dan menterjemah data-data yang dikeluarkan secara rasmi oleh DOSM?


Dalam hal ehwal ekonomi, Kerajaan Madani dilihat hanya rancak mengumumkan sesuatu yang ‘besar’ sebagai penyelesaian kepada isu berkaitan rakyat. Di akhirnya, hanya indah khabar daripada rupa. Keputusan mesyuarat NACCOL, isu harga ayam yang akan diumumkan keesokan harinya dan beberapa lagi pengumuman yang kosong daripada tindakan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.


Mujurlah negara kita diterajui oleh kepimpinan yang cakna dengan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat dengan efisien ketika diserang dua krisis serentak iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi. Walaupun lapan (8) siri Pakej Rangsangan Ekonomi yang berjumlah RM530 bilion dikecam oleh pembangkang pada ketika itu (yang kini menjadi Kerajaan), namun statistik menunjukkan usaha tersebut berjaya.


Buktinya, bukan sahaja Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi setiap suku tahun 2022 merekodkan peningkatan yang memberangsangkan, bahkan KDNK negara bagi tahun 2022 turut mencapai angka yang tinggi (8.7 peratus) berbanding tahun 2021 (3.1 peratus). Ia melebihi prestasi yang dicapai oleh negara jiran dan negara-negara maju lain seperti Singapura (3.8 peratus), Indonesia (5.3 peratus), China (3.6 peratus), Korea Selatan (2.6 peratus) dan USA (2.1 peratus).


Selain itu, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Malaysia mencatatkan peningkatan pelaburan sebanyak 83.1 peratus pada tahun 2021 (RM306.5 bilion) berbanding tahun 2020 (RM164 bilion). Bukan itu sahaja, malah aliran masuk bersih bagi Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia pada Suku ke-4 tahun 2022 meningkat dengan jumlah RM19.3 bilion berbanding RM12.3 bilion pada Suku ke-3 bagi tahun yang sama.


Ia selari dengan data pengangguran negara yang menunjukkan tren menurun sepanjang tahun 2022. Walaupun tahun 2021 merekodkan kenaikan pengangguran pada kadar 4.6 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2020, namun ia berbeza sepanjang tahun 2022 apabila Disember 2022 merekodkan kadar pengangguran yang lebih rendah iaitu pada kadar 3.6 peratus berbanding 4.2 peratus pada Januari tahun yang sama. Ini menunjukkan kebanyakan rakyat telah mendapatkan kembali pekerjaan untuk menyara kehidupan mereka setelah ramai yang dibuang kerja akibat pandemik COVID-19.


Justeru, rakyat memerhati dan menantikan apakah penyelesaian kepada isu ekonomi rakyat yang akan dibentangkan oleh Kerajaan Madani pada Pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari nanti. Adakah ia menjadi suatu penyelesaian kepada ekonomi rakyat dan mampu menyambung kestabilan ekonomi Malaysia terutama pasca pandemik atau sebaliknya.


ASYRAF SALLEH

Kuala Terengganu

21 Februari 2023

Comments


bottom of page