top of page
newsatmy

Man City bangkit atasi PSG di Paris

29 April 2021

PARIS: Manchester City berada di kedudukan selesa untuk mara ke final Liga Juara-Juara selepas bangkit menewaskan Paris Saint-Germain 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Paris.


Marquinhos meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan pada minit ke-15 aksi di Parc des Princes.


Bagaimanapun kapten City Kevin De Bruyne menewaskan Keylor Navas dengan sepakan lencong pada minit ke-64 untuk gol penyamaan sebelum Riyad Mahrez memastikan kemenangan menerusi sepakan percuma minit ke-71.


"10 minit terakhir babak pertama cukup baik dan babak kedua amat cemerlang di semua bahagian.


"Kami menjaringkan dua gol di tempat lawan yang amat penting sekali, tetapi tugas sukar menanti kami dalam tempoh enam hari.


"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan tetapi kita masih di pertengahan. Masih ada 90 minit untuk menewaskan mereka dan PSG adalah pasukan yang mampu melakukan apa saja," kata pengendali City Pep Guardiola.


Selepas bermula baik, PSG terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Idrissa Gana Gueye dibuang padang pada minit ke-77 kerana mengasari Ilkay Gundogan.


Rekod PSG di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini tidak begitu baik apabila mereka turut tewas kepada Manchester United, Barcelona dan Bayern Munich.


Tugas sukar menanti mereka di England Selasa ini dalam usaha PSG memburu tempat di aksi final untuk musim kedua berturut-turut.


-Berita Harian

Comments


bottom of page