top of page
  • newsatmy

Manchester City lebar penguasaan selepas nafikan kebangkitan Leicester

27 Disember 2021

MANCHESTER CITY 6 LEICESTER CITY 3


Manchester City mengatasi kebangkitan yang direncana Leicester City apabila mengesahkan kemenangan 6-3 dalam aksi Boxing Day penuh mengujakan di Stadium Etihad lewat malam tadi.


Walaupun membenarkan lawan merapatkan jurang kepada 4-3 selepas mereka mendahului 4-0, pasukan bimbingan Pep Guardiola itu berhasil merakamkan kemenangan kesembilan berturut-turut untuk kini berkelebihan enam mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).


Kevin De Bruyne muncul penjaring gol pembukaan daripada empat jaringan yang diperoleh tuan rumah sepanjang 25 minit pertama sebelum dua jaringan sepakan penalti, masing-masing disempurnakan Riyadh Mahrez dan Raheem Sterling, mengapit penyudah Ilkay Gundogan sepanjang tempoh itu.


The Foxes mempamerkan kebangkitan menakjubkan dalam babak kedua, di mana jaringan James Maddison, Ademola Lookman dan Kelechi Iheanacho memberikan gambaran bahawa mereka akan dapat menyamakan kedudukan.


Bagaimanapun, Aymeric Laporte dan Sterling memastikan The Citizens kembali ke landasan tepat, masing-masing menerusi jaringan pada minit ke-69 dan 87 hasil sepakan penjuru Mahrez.

bottom of page