top of page
  • Farah

Masa depan integrasi nasional pasca PRU15


PRU ke-15 secara jelas memaparkan polarisasi undi mengikut kaum terutama di Semenanjung. Kaum Melayu terutama di kawasan negeri-negeri lingkaran Melayu jelas memberi sokongan kepada PN, sehingga PN menawan beberapa kerusi tradisi BN dan PH meskipun berlaku pertembungan tiga penjuru. Sebagai contoh di Parlimen Alor Setar, PN dianggarkan meraih 74 peratus sokongan kaum Melayu.


Di Padang Serai yang baru dilakukan pengundian minggu lepas, dianggarkan PN memperolehi 87 peratus undi kaum Melayu. Jelas sekali berlaku gelombang besar sokongan pengundi Melayu terhadap PN di negeri-negeri ini.


Di kawasan bandar dan sub-bandar sekitar Lembah Klang pula pola pengundian kaum Melayu juga tidak kurang tingginya kepada PN. Petunjuk yang jelas berkaitan gelombang ini dapat dilihat terhadap pertambahan besar undi yang diperolehi oleh calon-calon PN di kerusi-kerusi bermajoriti Melayu di kawasan-kawasan bandar seperti Wangsa Maju dan Setiawangsa.


Di kawasan-kawasan sub-bandar sekitar Lembah Klang ada kerusi yang dimenangi oleh PN seperti Kuala Langat dan Kapar. Dianggar sokongan pengundi Melayu kepada PN di Kuala Langat mencapai sehingga 72 peratus dan di Kapar dianggarkan 59 peratus.


Bagi kaum bukan-Melayu pula, jelas sekali di dalam PRU ke-15 mereka memberikan undi kepada PH. Di seluruh Semenanjung sokongan kaum Cina terhadap calon-calon PH dianggarkan mencecah 90 peratus atau lebih. Manakala sokongan pengundi India terhadap PH pula melebihi 80 peratus. Secara umum, peratusan sokongan kedua-dua kaum Cina dan India terhadap PH semakin bertambah berbanding PRU ke-14 yang lalu. Selebihnya sokongan kaum bukan-Melayu di Semenanjung pergi kepada BN dan hampir sifar pergi kepada PN. Jelas sekali, PH menang disebabkan sokongan pengundi-pengundi bukan-Melayu.


Melihat kepada pola pengundian mengikut kaum di dalam PRU ke-15, khususnya di Semenanjung, ketara sekali dapat dilihat polarisasi undi mengikut kaum. Kaum Melayu lebih cenderung mengundi PN, manakala kaum bukan-Melayu lebih cenderung mengundi PH.


Boleh jadi sekiranya pola itu bercampur-campur, BN berpotensi memenangi lebih banyak kerusi berbanding 30 sekarang. Pola pengundian mengikut kaum ini di dalam PRU ke-15, secara tidak langsung menjadi petunjuk (indicator) berlakunya perpecahan kaum di dalam politik Malaysia. Kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengetahui mengapa polarisasi ini berlaku.


Pasca PRU ke-14 tahun 2018 yang lalu, telah memaparkan kecenderungan politik di Sabah dan Sarawak juga telah berubah. Pengundi-pengundi di Sabah dan Sarawak mula dipengaruhi oleh sentimen kewilayahan, sehingga menekan parti-parti di kedua-dua negeri ini keluar dari gabungan politik nasional. Gabungan politik bercitrakan tempatan telah dibentuk seperti GPS dan GRS. Citra nasional tidak lagi mendapat sambutan di Sabah dan Sarawak, selepas parti-parti di kedua-dua negeri itu keluar dari BN. Hari ini, gabungan politik dari Sabah dan Sarawak menjadi penentu gabungan mana di Semenanjung yang boleh membentuk kerajaan.


Sama ada disedari atau tidak perkembangan polarisasi undi berdasarkan kaum di Semenanjung dan pengaruh kewilayahan yang semakin kuat di dalam politik Sabah dan Sarawak, memberi petunjuk kedudukan integrasi nasional sedang tergugat.


Situasi ini sebenarnya telah bermula sejak PRU ke-12 tahun 2008 lagi, dan ia memuncak dalam PRU ke-15 baru-baru ini. Sudah pasti perkembangan seperti ini, perlu mendapat perhatian semua pihak supaya persoalan perpaduan kaum dan integrasi nasional dapat ditangani segera. Ia adalah seperti bom jangka yang boleh meletup apabila sampai masanya sekiranya tidak dipadamkan segera.




DR MOHD ZUHDI MARSUKI

bottom of page