• newsatmy

Masa Depan PN Amat Cerah Dalam Politik Negara


Agak mengejutkan apabila hanya setelah lapan bulan sahaja Perikatan Nasional (PN) didaftarkan dengan sijil pendaftaran bernombor PPM-019-14-07082020 oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos 2020, sudah banyak peningkatan yang ditunjukkan sehingga memungkinkan PN menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dalam PRU-15.


Bermula dengan perhimpunan rasmi pertama pemimpin PN bersama akar umbi di Sabah pada 9 September 2020 dan pengenalan logonya juga di Sabah sehari kemudiannya, PN menunjukkan impak besar yang dibawa dalam politik Malaysia bermula daripada 29 calon yang diletakkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020.


Walaupun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah Perdana Menteri, tetapi PN bersederhana dalam PRN Sabah dengan hanya meletakkan calon di 29 kerusi, iaitu 19 melalui BERSATU, 8 melalui STAR dan 2 melalui SAPP, berbanding Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon di 41 kerusi, iaitu 32 melalui UMNO, 5 melalui PBRS dan 4 melalui MCA.


Keputusan PRN Sabah memberikan kemenangan moral kepada PN apabila ia menunjukkan jenama PN, walaupun masih baharu, ia adalah lebih laku berbanding jenama BN yang lebih lama memandangkan peratus kemenangan calon PN, iaitu 58.6 peratus (menang 17 daripada 29 kerusi), mengatasi peratus kemenangan calon BN, iaitu 34.1 peratus (menang 14 daripada 41 kerusi).


Keputusan PRN Sabah, yang selari dengan dapatan kaji selidik Dr. Arnold Puyok dari SEEDS pada 21 hingga 24 September 2020 bahawa BN mengalami kehilangan 10 peratus sokongan manakala PN mengalami pertambahan 10 peratus sokongan dari kaji selidik pertamanya, lebih memberangsangkan lagi apabila ADUN PN iaitu Datuk Hajiji Md. Noor, dilantik Ketua Menteri Sabah yang baharu.


PN telah mengorak langkah bagi mengukuhkan kedudukannya dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 9 November 2020, bersetuju menubuhkan Badan Perhubungan Negeri bagim menyelaraskanaktiviti parti di peringkat negeri di samping melantik Dato’ Seri Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya dan Ir. Ts. Khairil Nizam Khiruddin sebagai Ketua Pemuda PN.


Penubuhan Badan-badan Perhubungan Negeri yang menyaksikan wakil BERSATU dilantik mengetuai Johor, Selangor, Perak, Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Wilayah Persekutuan manakala Pas dilantik mengetuai Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 5 Januari 2021.


Komitmen PN kepada penyatuan ummah dan perpaduan nasional pula terserlah apabila Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 1 Disember 2020 bersetuju mencadangkan pembentukan sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh semua ketua-ketua parti kerajaan PN sebagai platform membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.


Cadangan pembentukan Majlis Presiden ini dipersetujui oleh mesyuarat antara ketua-ketua parti dalam kerajaan PN, yang menyaksikan kehadiran 13 ketua dan wakil ketua parti, pada 17 Disember 2020, malah turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.


Begitupun, di sebalik pembentukan Majlis Presiden ini, dan di sebalik pengukuhan PN melalui penerimaan masuk parti Gerakan sebagai tambahan kepada BERSATU, Pas, STAR dan SAPP pada 11 Februari 2021, isu tambahan kelihatan mula timbul dalam kerajaan dengan kemunculan sepucuk surat dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pada 26 Februari 2021.


Di dalam surat tersebut, Ahmad Zahid memaklumkan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 19 Februari 2021 di Janda Baik, Pahang bahawa UMNO tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan BERSATU dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN hanya akan diteruskan oleh UMNO sehingga pembubaran Parlimen.


Begitupun, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada 4 Mac 2021, walaupun tetap memandang serius terhadap kandungan surat tersebut, memutuskan untuk terus fokusm memperkasakangerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.


Selaras dengan hasrat ini, Muhyiddin sewaktu berucap dalam Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Gerakan pada 13 Mac 2021 menyatakan betapa ‘PN adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia’ dan ‘PN komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat seluruhnya’.


Selain penegasan ‘PN is offering a new deal to all Malaysians’, turut dinyatakan adalah keyakinan Muhyiddin bahawa ‘dengan kesungguhan kita memenuhi aspirasi rakyat untuk Malaysia yang lebih baik, serta kesatuan dan perpaduan yang kita capai antara parti-parti komponen, PN akan menjadi gabungan parti politik pilihan utama rakyat Malaysia’.


Tawaran baharu PN ini terus sahaja disambut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menulis pada 25 Mac 2021 mengenai matlamat PN ‘untuk melaksanakan agenda perpaduan ummah yang majmuk sebagai tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, berkonsepkan Islam memimpin tanpa menghapuskan kewujudan pelbagai agama dan bangsa’.


Ditegaskan oleh Abdul Hadi betapa ‘Pas memulakan langkah terkini dalam menegakkan perpaduan umat Islam dan bukan Islam dalam PN, dengan menolak fahaman fanatik, ekstrem, liberal yang tidak kuat pegangan agama dan bersikap oportunis’ dan disertakan dengan huraian ciri berintegriti dan berkebajikan yang Pas dan PN perjuangkan.


Pengukuhan PN diteruskan lagi oleh pertemuan kepemimpinan tertinggi BERSATU dan Pas pada 30 Mac 2021 bagi merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam PN di mana BERSATU dan Pas bersetuju menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti khusus bagi menghadapi PRU-15.


Turut diputuskan dalam pertemuan ini adalah BERSATU dan Pas sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk serta bersedia bekerjasamad denganmana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut selain menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU-15.


Imej baik PN terus terserlah melalui ucapan Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung MIC Ke-74 yang menjanjikan keinklusifan: “Tidak ada sesiapa pun yang akan ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan dan pembangunan negara. Ini termasuklah masyarakat India di negara ini walau apa jua taraf hidup anda dan di mana jua anda berada.”


Tidak hairanlah maka dalam ucapan sama Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran Sanasee, menyatakan terima kasih MIC kepada Muhyiddin kerana telah memberi ruang kepada pemimpin MIC untuk berkhidmat sebagai Menteri dan Senator serta untuk berbincang mengenai masalah masyarakat India selain menyatakan sokongan MIC kepada kerajaan PN.


Turut memberangsangkan kepada PN adalah sambutan luar biasa yang diberikan oleh pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg ke atas delegasi Muhyiddin serta sokongan padu GPS kepada kerajaan PN semasa lawatan rasmi beliau ke Sarawak pada 1 dan 2 April 2021.


Persetujuan Majlis Tertinggi PN pada 3 April 2021 untuk menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu GPS memenangi PRN Sarawak, selain komitmen kerajaan PN untuk lebih menjaga kebajikan Sarawak dan Sabah, pastilah akan memantapkan lagi kerjasama politik antara PN dan parti-parti politik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada masa hadapan.


Berdasarkan perkembangan terkini yang menunjukkan pengukuhan PN manakala dua gabungan parti politik lain yang dijangka menjadi saingan kepada PN, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan BN, terus dilanda masalah berterusan, termasuklah dalam mendapatkan sokongan Sarawak dan Sabah, dijangkakan masa depan PN dalam PRU 15 adalah amat cerah.


DR. KAMARUL ZAMAN YUSOFF


Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)