top of page
  • admin

Masa sempit inilah waktu yang paling kritikal untuk dibantu


KUALA LUMPUR 11 April: Keputusan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu keputusan yang tidak bijak dan dilihat sebagai mengabaikan rintihan rakyat. Senator Hussin Ismail berkata, kerajaan perlu mendengar rintihan dan membawa suara hati rakyat agar dapat mengurangkan beban rakyat yang terkesan.


“Isu pengeluaran KWSP ialah tabung untuk masa tua. Ada ruang tak untuk KWSP untuk dipinda selain daripada bekalan masa tua? Kenapa tidak ada ruang bekalan pada masa yang sempit macam sekarang?

“Apa kita semua ini pasti bakal jadi tua? Sempatkah kita gunakan KWSP pada waktu tua? Masa sempit inilah waktu yang paling kritikal untuk dibantu. Tua nanti entah masih lagi susah atau sudah senang,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa perbahasan usul pengeluaran KWSP bersasar di Dewan Negara, di sini.


Menegaskan lebih lanjut, ujarnya, sepatutnya KWSP bersasar seharusnya memberi pilihan agar pengeluaran KWSP dibenarkan hanya buat golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kerajaan selama ini meletakkan isu B40. Ini KWSP bersasar, sekurang-kurangnya bagi pilihan supaya orang yang betul-betul (terkesan) perlu diberi ruang. Jangan mandatori sehingga (pengeluaran) KWSP langsung tidak diizinkan (kepada semua golongan rakyat),” tegasnya.


Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang Dewan Negara, di sini, semalam berkata, kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP buat kali yang kelima kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.


“Kalau kita hendak popular bagi sahaja (luluskan) semua pengeluaran, keluarkan sahaja RM5,500 atau RM3,300 sampai kosong tetapi kerajaan ini kerajaan bertanggungjawab sebab itulah kita tidak benarkan,” katanya.

bottom of page