top of page
  • newsatmy

Masa tepat skuad petanque cipta sejarah gemilang - Jurulatih

13 April 2022

KUALA LUMPUR: Skuad petanque negara optimis mampu mengatasi rekod pencapaian dua pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur lima tahun lepas pada edisi ke-31 temasya sukan dwitahunan itu yang dijadual berlangsung di Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei ini.


Keyakinan itu disuarakan jurulatih kebangsaan Zani Lisa Mohamed berdasarkan sejumlah lapan acara dipertandingkan berbanding empat pada edisi 2019 di Filipina dan senarai atlet negara lain yang mengambil bahagian kali ini.


Beliau berkata ketiadaan sebarang kejohanan antarabangsa disertai pasukan negara tidak akan menggugat potensi barisan anak buahnya dalam mencipta kejayaan gemilang memandangkan kesemua pencabar utama turut membuat persediaan di peringkat domestik.

"Daripada dapatan dan pemantauan saya terhadap prestasi semasa, kita ada peluang untuk cipta sejarah baharu. Kalau sebelum ini pencapaian terbaik skuad petanque adalah menyumbangkan dua emas tetapi kali ini saya rasa mungkin lebih (pingat emas)," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil semalam.


Mengulas lanjut, Zani Lisa berkata peluang negara menyambar kilauan emas dilihat cerah dalam empat acara iaitu shooting lelaki, beregu lelaki dan wanita serta triples campuran.


Katanya ia disebabkan pencabar utama, Thailand tidak memberikan tumpuan kepada keempat-empat acara itu yang menyaksikan antara sasaran utama mereka adalah menaiki podium menerusi acara triples lelaki dan wanita.


Beliau berkata bagi acara shooting di Hanoi pula, pemain petanque lelaki negara Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi memiliki kelebihan untuk bergelar juara selepas jaguh acara itu dari Kemboja sah tidak akan beraksi.


Sementara itu, pengurus pasukan Mohd Lutfi Othman berkata skuad petanque negara ke Sukan SEA Hanoi yang dibarisi 17 atlet keseluruhan akan menyambung fasa persiapan di Arena Petanque di Taman Rekreasi Pudu Ulu, di sini selepas menjalani latihan di Terengganu dan Kuala Selangor baru-baru ini.


Pada edisi 2019 kem petanque negara menepati sasaran membawa pulang sebutir pingat emas menerusi acara triples lelaki selain turut meraih satu perak dan dua gangsa manakala pada edisi 2017 menyaksikan Malaysia merangkul dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

bottom of page