• newsatmy

Masih dirawat di MAEPS, Maria Tunku Sabri mohon maaf, minta halalkan makan minum

26 OKTOBER 2021

MASIH dirawat di MAEPS, Maria Tunku Sabri mohon maaf, minta halalkan makan minum.


Begitulah yang diluahkan oleh pengacara terkenal Maria Tunku Sabri yang kini menerima rawatan akibat jangkitan Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).


Terdahulu, Maria dikejarkan ke MAEPS susulan gejala bacaan darah tinggi rendah, jantung berdegup laju dan demam. Ketika itu, Maria sedang menjalani rawatan kendiri di rumah yang masih berbaki tiga hari.


Terbaru seperti mana yang dikongsi Maria juga turut minta dihalalkan makan minum dan segala kesilapannya.


“Saya Maria Tunku Sabri mohon maaf jika saya ada salah dan silap dengan sesiapa sahaja halalkan makan minum saya selama ini ya. Baiklah saya nak berehat ya semua sejujurnya saya rasa dah letih dan penat sangat,” tulisnya.


Menerusi perkongsian yang sama juga, Maria ada menghantar sebuah video menerusi akaun Instagramnya dan berkongsi keadaan terkininya dan keadaan semasa di MAEPS.


“Saya perlukan rehat betul-betul kerana saya letih. Saya tak larat sangat. Saya perlu rehat yang banyak untuk memulihkan diri saya.


“Tekanan darah tinggi dan paras oksigen pada paras baik. Bagaimanapun, keputusan ujian darah tidak begitu baik kerana ada jangkitan kuman.


“Kuman makin meningkat, menyerang paru-paru saya. Saya minta semua orang doakan saya supaya saya dapat kembali pulih dan pulang ke rumah.


“Saya ingin memohon maaf sekiranya ada salah dan silap kepada anda semua, ahli keluarga, kawan-kawan.


“Kalau ada salah, maafkan saya.


“Kalau saya ada termakan dan terminum, halalkan.


“Saya maafkan semua orang dan saya halalkan semua makan minum semua sahabat handai, suami dan anak-anak. Sampai kita jumpa lagi,” katanya sebak sambil mengalirkan air mata.


Maria juga menerangkan ketika ini di MAEPS yang tidak kosong seperti yang dikatakan pelbagai pihak. Katanya, yang berkurangan mungkin di bahagian pemerhatian dan rawatan.