• newsatmy

Masih tiada permohonan tubuh entiti ganti PSM - PJS

25 Mei 2021

'BELUM ada lagi permohonan rasmi daripada mana-mana pihak untuk menubuhkan entiti baru sepak takraw kebangsaan'.


Itu penjelasan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof tentang konflik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang sedang berlaku ketika ini.


Satu pertemuan secara maya diadakan membabitkan ahli gabungan yang masih setia bersama PSM dengan PJS bagi membincangkan hala tuju badan sepak takraw itu.


PJS sekali lagi tegaskan PSM masih badan yang sah untuk mengurus tadbir perihal sepak takraw kebangsaan biarpun badan induk kebangsaan tersebut digugurkan selaku ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).


Bagaimanapun, PJS mengesahkan sehingga Isnin, masih belum ada usulan rasmi dari pihak gabungan yang keluar daripada PSM untuk membentuk persatuan baru biarpun pada Ahad kumpulan tersebut mendakwa sudah mendapat surat sokongan daripada pihak ASTAF.


Secara keseluruhan, sebanyak 10 persatuan negeri telah berpisah daripada PSM termasuk Sabah yang umum keluar, semalam.


"Isu ini merupakan antara PSM dan ASTAF, jadi kami hanya memberikan pandangan dan nasihat atas kepada tindakan yang perlu diambil di bawah perlembagaan persatuan," kata Ibrahim.


"PJS buat masa ini tidak menerima sebarang permohonan jadi tiada apa yang boleh diluluskan ketika ini."


-Astro Awani