top of page
  • Writer's pictureNihaba

Masihkah Bi-partisan relevan di Malaysia mutakhir ini?


Secara kebiasaannya, rakyat marhaen seperti kita ini tertunggu-tunggu apa yang bakal diumumkan oleh pihak kerajaan ketika negara sedang bergelut dengan pandemic Covid19. Perumpamaan Perdana Menteri Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin bin Md. Yasin sebagai abah, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Pak Long dan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai Pak Ngah sentiasa terpahat di benak minda kita kerana mereka inilah yang selalu membuat pengumuman penting berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan yang pastinya sedikit sebanyak melegakan segenap lapisan masyarakat.


Lain pula senario pengumuman terbaru yang dibuat sendiri oleh abah rentetan kemelut politik yang tidak berkesudahan yang sedang dialami negara. Pengumuman kali ini lebih kepada kejadian sebenar, apa yang sedang berlaku, apakah pelan tindakan yang perlu dibuat untuk kemaslahatan rakyat, dan yang paling hangat dibualkan tawaran abah kepada ahli-ahli parlimen agar semangat bi-partisan dapat dilaksanakan demi memastikan kerajaan tetap teguh dan stabil bagi melaksanakan segala dasar dan pelan pemulihan negara yang memberi kesan secara terus kepada orang kebanyakan.


Sebelum itu, adalah sangat penting untuk kita memahami takrifan bi-partisan ini. Bi-partisan adalah lebih mudah dirungkapkan sebagai sesuatu yang berkenaan dua pihak. Jika kita dengar petikan kata-kata mereka yang berkepentingan di dalam hal ini, mereka akan selalu menyebut keputusan bi-partisan politik bermaksud keputusan politik yang melibatkan kedua-dua belah pihak. Pihak yang dimaksudkan adalah blok kerajaan dan blok pembangkang. Mudah kan? Jadinya, apa yang dihiruk pikukkan sangat ibarat halilintar membelah bumi?


Berbalik kepada initipati pengumuman abah, jika diteliti terdapat 7 tawaran yang dibuat atau pun akujanji beliau kepada Malaysia.


Pertama, janji beliau untuk memastikan semua Ahli Parlimen menerima jumlah peruntukan yang sama tidak kiralah kerajaan mahupun pembangkang. Malah untuk bulan yang masih berbaki, peruntukan akan diberikan secara prorata. Ini tidak termasuk pemberian peruntukan 300 ribu ringgit kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bertujuan pembelian bakul makanan untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan. Langkah ini adalah wajar memandangkan kesemua Ahli Dewan dilantik dari rakyat dan kepada rakyatlah seharusnya mereka berbakti. Jika dahulu, Ahli Pembangkang selalu merungut kerana tidak diberikan peruntukan secara sama rata lebih-lebih lagi ketika era Barisan Nasional. Rakyat yang kesempitan menagih ehsan tidak dapat disantuni secara sepenuhnya malah ada permohonan yang terpaksa ditolak mentah-mentah disebabkan peruntukan yang sangat terhad. Saya berpendapat tidak ada sebab Ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara menolak jika perkhidmatan mereka berlandaskan kesejahteraan rakyat. Rakyat menderita, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, santunilah mereka sedaya upaya sesuai dengan peruntukan besar yang bakal diberikan. Bayangkan, berapa ramai yang dapat disantuni jika tawaran ini diterima.


Anthony Loke di dalam sesi dialog tiga penjuru bersama Astro Awani bertarikh 18 Jun 2021 pernah berkata, adalah sangat penting agihan peruntukan kepada wakil rakyat perlu sama rata. Kata Ahli Parlimen Seremban merangkap Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, pengagihan peruntukan ketika waktu pandemik ini terutamanya perlu lebih adil kerana seluruh rakyat perlu dibantu tidak kira apa warna bendera pilihan mereka. Jalan sudah terbuka luas, tangan telah pun dihulur demi kebaikan negara dan rakyat, alasan apakah lagi yang bakal digunakan oleh Yang Berhormat dari blok pembangkang sekalian untuk menolak pelawaan ini?


Kedua, hasil libat urus Menteri Kewangan terutamnya dari parti pembangkang di dalam usaha menambahbaik Pelan Pemulihan Negara, kerajaan akan membentangkan penambahan siling Dana Covid-19 daripada 65 bilion kepada 110 bilion ringgit. Cadangan pertambahan dana ini bertujuan untuk memenuhi keperluan tambahan sistem kesihatan, nilai tambah bantuan sedia ada kepada rakyat dan juga menyokong kelangsungan perniagaan.


Fokus kerajaan adalah meningkatkan serta menyegerakan usaha menyaring kes Covid-19. Menurut Menteri Kesihatan di dalam Sidang Khas Dewan Rakyat, kapasiti ujian RT-PCR SARS-CoV-2 yang dijalankan menerusi 94 makmal di negara ini meningkat sebanyak 1,874 peratus. Berbanding kapasiti ujian RT-PCR pada bulan Mac 2020, hanya 6,210 ujian, sejumlah 51 makmal kerajaan dan 43 makmal swasta mempunyai kapabiliti untuk menjalankan ujian RT-PCR SARS-CoV-2 di seluruh negara, dengan kapasiti ujian sebanyak 122,603 ujian sehari. Walaupun masih tidak mecapai sasaran KKM iaitu sebanyak 200,000 sehari tetapi tidak mustahil dengan persetujuan kesemua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara menerima tawaran yang dibentangkan, seterusnya membawa usul pertambahan dana ini di dalam sidang Dewan Rakyat dan diluluskan. Siapa sangka sasaran KKM dapat direalisasikan dalam tempoh hanya sebulan.


Usul ini juga melibatkan cadangan penambahan petugas kesihatan seiring dengan cadangan untuk meningkatkan kapasiti wad ICU. Kematian di luar hospital akibat Covid-19 atau brought in dead (BID) semakin membimbangkan. 12 Ogos lalu telah mencatatkan kes BID tertinggi iaitu sebanyak 93 kes. Hospital hybrid Covid-19 terpaksa ditambah berpunca daripada kes yang semakin tinggi. Wad-wad waima wad kanak-kanak sekalipun terpaksa menempatkan pesakit-pesakit Covid-19. Malah ada pesakit-pesakit terpaksa dipindahkan ke hospital-hospital yang jauhnya melangkaui 100km sehala. Inilah realiti yang sedang Malaysia tempuhi. Sehubungan dengan itu, pastinya kes kematian di luar dapat dikurangkan sekiranya petugas kesihatan dibuat lantikan mengikut kadar nisbah yang berseuaian dengan jumlah pesakit di sesuatu lokaliti, jumlah kelengkapan dan kemudahan untuk wad ICU dapat dipertingkatkan terutamanya yang membabitkan tabung oksigen dan pastinya tawaran kedua ini dapat sedikit sebanyak menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal jika tawaran kedua ini ditolak memandangkan data input adalah hasil perbincangan melibatkan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari blok pembangkang.


Tawaran ketiga pula melibatkan akujanji politik dimana jika kerajaan mendapat sokongan bi-partisan, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan akan dipinda untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja. Bukan itu sahaja, RUU Anti-Lompat juga akan dibentangkan di Parlimen. Idea ini asalnya datang dari blok Pakatan Harapan di dalam manifesto mereka untuk kempen PRU14 lalu. Seingat saya, kenyataan yang telah ditandatangani bersama itu dibaca Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan ketika itu, iaitu Datuk Saifuddin Abdullah yang membaca kenyataan tersebut sebelum mengumumkan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan. Tawaran ini ibarat pulang paku buah keras apabila pihak kerajaan bersedia membawa manifesto asal blok pembangkang untuk direalisasikan dan adalah sangat tidak wajar jika mereka menolak apa yang mereka perjuangkan. Jika ini berlaku, mereka ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah kumpulan penglipur lara yang membawa cerita-cerita dongeng untuk menyedapkan hati sesama sendiri.


Keempat, pengukuhan terhadap reformasi Parlimen di dalam mengimbangkan Ahli Dewan Rakyat pembangkang dan juga kerajaan di dalam menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menggunakan formula 50-50, malah kerajaan juga akan menyediakan kakitangan sokongan dan elaun saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang telah dilantik. Sebelum ini, mereka ke sana dan ke sini berteriak membangkitkan katidakadilan kerajaan, sekarang telah dibuka peluang untuk melibatkan diri secara menyeluruh dalam mengukuhkan amalan semak dan imbang, sama rata dan sama rasa. Semuanya demi rakyat. Jika menolak, saya sendiri tidak tahu apa lagi yang dimahukan mereka. Mungkin mereka lebih gemar beraksi seperti beruk di dalam sidang Dewan Rakyat sedangkan teguran keras telah dibuat melalui titah baginda Sultan Johor baru-baru ini ketika pembukaan Sidang DUN Johor. Rakyat jelek dan muak dengan sikap sebegini. Dimomokkan untuk membuka Sidang Dewan Rakyat kononnya untuk kepentingan rakyat tetapi nyatanya, lebih kepada keinginan diri meraih kuasa. Betul-betul ‘Drama Queen’ seperti sindiran sinis Tengku Mahkota Johor (TMJ) kepada salah seorang Ahli Parlimen Johor. Cukup-cukuplah dan hentikan pertelingkahan politik bodoh, fokuskan usaha membantu rakyat. Sambut tangan yang dihulurkan demi rakyat dan negara.


Tawaran kelima adalah akujanji untuk melaksanakan undi 18 tahun tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang mengambil masa terlalu lama. Teringat saya pada satu kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada sesi Parlimen Mac 2019. Bukan itu sahaja beliau antara yang keras mengkritik PAS supaya tidak berdalih dan melengah-lengahkan pelaksanaan had umur mengundi bawah 18 tahun walaupun sebelum ini pimpinan PAS dan ahli Parlimennya menyokong penuh usul undi 18 dan bersetuju untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ketika berada di blok pembangkang. Usul ini juga tetap diperjuangkan di dalam parti yang diasaskan beliau iaitu MUDA. Apakah Syed Saddiq seperti kebiasaannya, sorong papan tarik papan apabila yang diperjuangkan telah menjadi sebahagian tawaran kerajaan? Jikalau menolak, setidaknya rakyat akhirnya kenal bagaimana orangnya Syed Saddiq ini. Marahkan kerajaan sebab menjadi sebahagian Kluster Mahkamah, tetapi kononnya memperjuangkan hak orang muda. Benarlah jolokan ‘Drama Queen’ yang diberikan oleh TMJ itu. Sekali lagi saya ulang, tidak ada sebab untuk menolak tawaran ini kerana ini antara manifesto yang diperjuangkan mereka sebelum ini.


Keenam, RUU yang bakal dibentangkan mesti dibincangkan dan dirunding dengan semua Ahli Parlimen terlebih dahulu dan hanya akan dibentangkan apabila mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. Walaupun langkah ini ada pro dan kontranya, tetapi sikap bi-partisan inilah yang telah menyelamatkan pembentangan bajet dan pengawalan deficit ekonomi Amerika Syarikat yang melibatkan Rang Undang-Undang infrastruktur ketika Biden menggantikan Trump. Jika ia baik untuk rakyat, saya fikir tidak seharusnya Ahli Parlimen menolak tawaran ini. Lagipula jika sesuatu Rang Undang-Undang sudah mendapat sokongan majoriti sebelum dibentangkan, aksi beruk sarkis yang menjengkelkan dapat dikurangkan. Rakyat juga kurang rasa bersalah kerana telah salah mengangkat beruk sebagai wakil mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Tawaran ke tujuh, iaitu tawaran yang paling akhir adalah pengiktirafan kepada ketua pembangkang kerana setara dengan seorang Menteri Kanan malah elaun saraan serta kemudahan-kemudahan lain juga turut diberikan. Jika diterima secara terbuka, rakyat akan beranggapan ketua pembangkang lebih kepada mengejar elaun saraan dan kemudahan yang setara dengan Menteri Kanan. Kalau ditolak terasa seperti rugi pula. Ya, mahunya ada tapi malunya tidak dapat nak disorok. Walau apapun persepsi dan sentimen mereka, saya beranggapan ini adalah langkah yang baik demi mengangkat suara blok pembangkang di Parlimen agar sistem semak dan imbang dapat diperkukuhkan lagi. Tingkatkan kerja di dalam memainkan peranan semak dan imbang itu demi memberikan justifikasi jelas kenapa elaun saraan dan kemudahan-kemudahan lain diberikan.


Belum pun 24 jam diumumkan, dah ada yang melatah dan mahu SPRM mengambil tindakan seolah-olah kerajaan abah ingin merasuah blok pembangkang. Pada saya, ia bergantung pada niat dan matlamat Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagi yang masih dalam kepompong vengeance politics, dendam, irihati atau kepuakan, sudah tentu akan memberikan knee-jerk reaction yang negatif. Namun bagi yang tulen mencari kebaikan untuk rakyat, yang ingin berkhidmat dan yang ingin melihat reformasi berlaku, tawaran ini pastinya wajar disusuli. Inilah yang dinamakan politik matang kerana tinjauan dilapangan telah membuktikan bahawa sentimen rakyat tidak suka kepada tindakan bersifat politicking dan berebut kuasa. Malah titah ucapan dari Raja–raja dan Sultan di Johor, Selangor, Pahang juga menunjukkan hasrat yang sama. Justeru, tawaran ini adalah jalan keluar bersifat bi-partisan dan inklusif yang memberi fokus utama kepada pemulihan nasional adalah wajar diperhalusi.



--PN Online

bottom of page