top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Masyarakat Cina Johor digesa untuk terus menyokong BN

9 Februari 2022

PONTIAN: Masyarakat Cina di Johor digesa untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN), bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kemajuan dilaksanakan di negeri itu.


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Hasni Mohammad berkata sokongan padu kepada BN adalah penting supaya kerajaan yang stabil dan kukuh dapat dibentuk di negeri itu.


“Kerajaan negeri yang tidak stabil hanya akan merugikan rakyat dan negeri dari segi pembangunan dan bukannya kemajuan secara menyeluruh.


“Johor mempunyai potensi besar untuk terus menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, apatah lagi kedudukan negeri sebagai jiran Singapura.


“Rakyat perlu memastikan Johor terus memainkan peranan sebagai penyumbang ekonomi penting negara dan untuk itu, kita perlu bermula dengan kerajaan negeri yang stabil dan kukuh.


“Saya berharap masyarakat Cina di Johor akan membenarkan BN menjadi kerajaan negeri yang lebih kuat di Johor dan ini akan memberi saya satu lagi peluang untuk membangunkan ekonomi negeri yang lebih baik,” katanya pada Majlis Makan Malam Muhibah Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Cina Pontian, di sini , malam semalam.


Turut hadir Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Kiong.


Pada majlis makan malam itu, Hasni turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada kuil Fat See Kong Kow Beow Pontian bagi menambah baik kemudahannya.


Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata keunikan masyarakat berbilang kaum yang hidup secara harmoni perlu terus dipelihara dan dipupuk.


Katanya, ini terbukti apabila masyarakat majmuk di negeri ini menghormati perayaan dan kepercayaan masing-masing serta bergaul sesama sendiri.


“Keunikan ini dapat disaksikan setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dengan kehadiran rakan berbilang kaum.


“Ini memberi gambaran keharmonian, perpaduan, toleransi dan kestabilan sosial yang baik untuk Johor.


“Keunikan seperti itu perlu dikekalkan supaya pelabur terus berminat untuk membawa pelaburan ke dalam persekitaran yang stabil dan aman,” katanya.

Comments


bottom of page