top of page
  • newsatmy

Mbappe dan Hakimi ketepi persahabatan demi negara


DOHA 14 DIS: Kylian Mbappe dan Achraf Hakimi akan mengetepikan sementara keakraban persahabatan mereka apabila Perancis menentang Maghribi pada separuh akhir Piala Dunia di Qatar.


“Jika saya bermain menentang Maghribi, saya perlu musnahkan rakan saya,” kata Mbappe dalam klip videonya ketika dalam perjalanan ke Qatar bersama kelab mereka, Paris St Germain, Januari lalu.


“Saya akan sepak dia,” balas Hakimi sambil tersenyum.


Mbappe yang bermain sebagai sayap kiri serangan Perancis akan bertemu pertahanan kanan Hakimi, pemain Maghribi yang menyertai PSG dari Inter Milan pada 2021.


Pasangan itu duduk bersebelahan dalam perjalanan kapal terbang, mereka bermain permainan video dan bercuti bersama-sama.


Walaupun Maghribi tidak merancang menggunakan strategi khas untuk membelenggu Mbappe, seperti yang dilakukan oleh England dengan Kyle Walker membayangi pemain Perancis itu, jurulatih Walid Regragui mempunyai kepercayaan penuh terhadap Hakimi.


“Saya tidak ragu-ragu bahawa Hakimi akan berada dalam prestasi terbaik untuk mengatasi rakannya,” kata Regragui pada sidang akhbar, semalam.


Mbappe menjaringkan lima gol dan memberikan dua bantuan pada Piala Dunia ini, manakala Hakimi menjadi kunci membantu Maghribi hanya menerima 10 percubaan menembusi gawang dalam lima perlawanan mereka.


Hakimi meraikan sepakan penalti kemenangannya menentang Sepanyol dalam pusingan 16 terakhir dengan gaya seekor penguin, aksi yang dia lakukan bersama Mbappe dan Sergio Ramos di PSG.


Mbappe yang turut melawat Hakimi di hotelnya di Doha pada hari cutinya di Piala Dunia, adalah antara orang pertama yang mengucapkan tahniah kepadanya apabila Maghribi layak ke suku akhir.


Namun Kapten Perancis, Hugo Lloris yakin persahabatan mereka akan diketepikan di Stadium Al Bayt.


“Matlamat perlawanan itu akan mengambil alih diri mereka. Walaupun anda berkawan di luar padang, ini adalah Piala Dunia. Jadi anda memisahkan kedua-duanya,” katanya. – REUTERS

bottom of page