top of page
  • newsatmy

Media sosial kaedah kempen terbaik di PRN Melaka-Puteri UMNO

21 Oktober-MELAKA

Platform media sosial akan dimanfaatkan sepenuhnya Puteri dan Pemuda UMNO Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November depan.

Ketua Puteri UMNO Melaka, Nurashiqin Alias berkata, platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Tik Tok dianggap pilihan terbaik memandangkan PRN kali ini bakal diadakan dalam suasana norma baharu.


Menurutnya, tumpuan yang akan diberikan dalam platform media sosial ialah memperkenalkan calon yang bertanding, selain berkempen cara baharu bagi menarik sokongan anak muda.

“Dengan cara ini setiap calon UMNO dan Barisan Nasional itu akan lebih dekat kepada pengundi-pengundi khususnya generasi muda.

“Selain itu, kita juga akan menggunakan pendekatan video pendek dan poster di media sosial bagi menyebarkan manifesto yang akan diberikan.

“Generasi muda terutamanya Gen Z sudah tidak mengutamakan calon itu dari parti mana, tetapi mereka ingin tahu apa yang ditawarkan demi masa depan mereka,” katanya.

katanya lagi, jentera Pemuda dan Puteri UMNO di setiap bahagian sudah bersiap sedia untuk memulakan ‘perang’ media sosial sebaik sahaja tarikh berkempen dibenarkan 8 November nanti.

“Buat masa ini gerak kerja disusun dan dirancang dengan teliti antaranya persiapan dari segi penghasilan video dan sebagainya.

“Insya-Allah bila tibanya waktu berkempen, kita sudah bersiap sedia untuk meraih sokongan rakyat negeri ini,” ujarnya

.

Nada sama dari Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang menganggap platform media sosial cukup penting dalam membantu parti mendapatkan sokongan generasi muda.

Katanya, pengisian bagi menghadapi perang media sosial bagaimanapun tidak lagi ke arah cara kuno iaitu dengan menyerang peribadi atau kelemahan pihak lawan.

Sebaliknya, pengisian yang diterapkan kali ini lebih ke arah politik matang.

“Pengisian di media sosial itu lebih tertumpu kepada apa yang akan kita buat, menjawab soalan dan isu serta apa janji yang boleh diberi kepada masyarakat.

“Kali ini, kita cuba untuk tidak lagi bercerita mengenai kelemahan-kelemahan orang lain kerana orang ramai pun dah tak nak tahu semua itu.

“Jadi, kita cuba pergi ke arah politik matang yang lebih memfokuskan kepada apa yang boleh kita tawar kepada rakyat negeri ini,” katanya.

bottom of page