top of page
  • admin

Menanti angin perubahan di Selangor


PILIHAN Raya Umum Negeri ke-15 untuk enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka diadakan bila-bila masa selewatnya suku kedua tahun ini.


Setelah selesai Pilihan Raya Umum Parlimen ke 15 baru-baru ini yang mengakibatkan terjadinya ‘hung’ Parlimen dan akhirnya terpaksa dibentuk Kerajaan Campuran, ramai pemerhati sedang memberi tumpuan kepada PRN ini pula, apakah ianya juga nanti bakal menimbulkan kejutan sebagaimana PRU Parlimen.


Dengan kejayaan luar biasa PERIKATAN NASIONAL membolot peratusan terbesar undi Melayu dalam PRU Parlimen baru-baru ini, kombinasi PAS dan BERSATU dijangka menang mudah dan besar di ketiga-tiga negeri ‘bengkong Melayu’ itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Di Kelantan dan Terengganu PH dan BN gagal menang walau satu kerusi Parlimen manakala di Kedah pula hanya PKR menang satu kerusi iaitu di Sungai Petani, selebihnya dibolot PN. Jika keputusan demikian diambil kira, PH dan BN dijangka kecundang di ketiga-tiga negeri ini kerana kemenangan calon-calon PAS dan BERSATU adalah dengan majoriti yang cukup besar.


Kalau di Kedah majoriti paling kecil dimenangi calon PN adalah di Alor Setar iaitu 9,931 undi manakala terbesar adalah di Jerai dengan majoriti 33,192 undi.


Di Kelantan pula majoriti terkecil adalah calon BERSATU yang menang mengalahkan ‘gergasi’ politik Umno di Gua Musang iaitu Tengku Razaleigh dengan majoriti 163 undi manakala kerusi-kerusi lain majoritinya rekod antara 10,154 (Machang) ke 44,485 (Tanah Merah).


Di Terengganu pula majoriti terkecil adalah di Hulu Terengganu di mana calon BERSATU menang dengan majoriti 15,734 manakala majoriti terbesar dan rekod buat calon PAS adalah di Marang yang dimenangi Tuan Guru Presiden PAS dengan majoriti 41,729 undi.


Dengan pencapaian terbesar buat PN khasnya calon-calon Parlimen PAS ini, PN dijangka mampu bertahan dengan menyapu bersih ketiga-tiga Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah kiranya momentum ‘gelombang hijau’ kekal malah makin melonjak lagi.


Oleh kerana ketiga-tiga negeri ini hampir pasti kekal milik PN, maka perhatian sebenar para pemerhati adalah pada Selangor yang punya 56 kerusi DUN. Selangor adalah Negeri Pakatan Harapan.


Kedudukan PRU14 sesungguhnya meletakkan Selangor selesa di tangan PH, namun dengan perkembangan PRU Parlimen baru-baru ini, Selangor berupaya jatuh ke tangan PN jika ‘gelombang hijau’ memukul negeri ini sekali lagi.


Yang menariknya 5 dari 6 kerusi Parlimen yang PN menang dari 22 kerusi Parlimen di Selangor mempunyai peratus pengundi Melayu melebihi 60 peratus.


Di Parlimen Kuala Langat walaupun peratusan pengundi Melayu adalah 58.23 peratus namun calon PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi tetap boleh bawa kemenangan untuk PN.


Di Selangor dari 56 kerusi DUN, 33 mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus, manakala 6 pula lebih 50 peratus Melayu. 17 kerusi berbaki adalah kerusi majoriti bukan-Melayu di mana DAP kuat bertapak.


PN mampu menguasai negeri ini kiranya jenteranya bergerak pintar dan bertenaga.


Di Selangor hari ini semangat ‘gelombang hijau’ yang berjaya membadai dari PRU Parlimen ke-15 lalu masih bergelora. Ini ditambah pula dengan kekecewaan dan sentimen tidak puas hati yang sangat menebal di kalangan ahli dan penyokong BN khasnya Umno dan PH sendiri.


Ahli-ahli dan penyokong Umno Selangor kecewa apabila Presiden dan Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan membantu Datuk Seri Anwar membentuk kerajaan selepas PRU15 lalu bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Umno. Mereka rata-rata mengharapkan Presiden Umno akan bersetuju membantu PN yang menguasai suara Melayu Islam membentuk kerajaan, tetapi apabila sebaliknya tawaran PH pula yang diterima dan tangan DAP yang disambut, ramai yang marah.


Selain itu mereka turut kecewa apabila bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang banyak berjasa pada rakyat dan negeri ini telah digugurkan dari mempertahankan kerusi Parlimennya di Tanjong Karang dan kemudiannya dipecat dari keahliannya.


Bagi penyokong PH di Selangor pula, tindakan pimpinan mereka bersetuju bekerjasama dengan BN dan Umno yang sebelum ini mereka dakwa sebagai penyamun dan perompak sesungguhnya meletakkan mereka dalam keadaan tidak selesa. PH berkempen dengan slogan anti rasuah dan integriti tetapi sebaliknya dengan mudah boleh menerima sokongan Umno yang mereka kritik semata-mata kerana kuasa.


Di mana perginya perjuangan dan semangat Reformasi dahulu?


BN dan PH Selangor cuba menyorok dan menyembunyikan sentimen kekecewaan dan ketidakpuasan hati akar umbi mereka itu, tetapi hakikatnya ia sedang membuak-buak mendidih, bakal menghukum mereka dalam PRN Negeri nanti.


Pengurusan Kerajaan Negeri Selangor yang lemah dan tidak tersusun berbanding di zaman Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga mula menghilangkan keyakinan rakyat pada PH.


Banyak skim dan insentif yang membela kebajikan rakyat diperkenalkan semasa pemerintahan Tan Sri Khalid dahulu kini sewenang-wenangnya dihapus atau dipotong oleh kerajaan negeri.


Isu infrastruktur serta kemudahan awam, bekalan air yang sering terputus, banjir dan sampah serta kelemahan pengurusan cerun dan tanah tinggi terus menghantui rakyat negeri ini.


Kerajaan Negeri seakan tidak mampu mencari penyelesaian yang tuntas dan kekal selain mengambil langkah ‘ad hoc’ yang tidak menangani masalah sebenar.


Jika Kerajaan Persekutuan kini dikuasai BN-PH, sudah tiba masanya rakyat Selangor bertukar-angin.


Demi memastikan semak dan imbang yang berkesan dan memanfaatkan rakyat dijangka panjang, serahlah pula kerajaan negeri ke PN agar kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat bersaing secara sihat demi kepentingan rakyat.


PN Selangor sama ada dari PAS mahupun BERSATU punya barisan kepimpinan yang layak, cekap dan berpengalaman untuk memimpin dan mentadbir negeri ini.


PAS sahaja di Selangor pernah melahirkan 6 orang ahli Exco yang punya rekod cemerlang selain seorang Timbalan Speaker dan ratusan ahli majlis PBT dan lantikan politik yang lain yang berkaliber dan bersih.


Diharapkan momentum ‘gelombang hijau’ yang merupakan gelombang kesedaran politik umat Melayu Islam akan terus bertenaga di negeri ini sehingga PRN nanti.


Kini Perlis milik PN manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka akan kekal ditangan PN-PAS.


Biarlah Selangor menjadi negeri kelima. PN Selangor dijangka membariskan calon-calon yang profesional dan berwibawa yang mampu memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat negeri ini.


Rakyat di kalangan penyokong BN dan PH yang kecewa sesungguhnya punya pilihan iaitu PN untuk melepaskan kekecewaan mereka itu.


Bersamalah kita membawa angin perubahan pula di Selangor.


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

bottom of page