top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Menteri Sabah pengsan ketika berucap, kini dilaporkan stabil


KOTA KINABALU,28 Ogos: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim pengsan ketika menyampaikan ucapan pada satu majlis di Pitas semalam, namun kini dilaporkan beliau berada dalam keadaan stabil.


Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata beliau dimaklumkan Jahid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli dipercayai mengalami keletihan melampau.


Beliau yang juga ADUN Kiulu itu berkata Jahid berada di Pitas untuk merasmikan sebuah projek berkaitan bekalan air yang juga sebuah projek tanggungjawab sosial korporat sebuah syarikat berkaitan kerajaan. "Beliau dikejarkan ke Hospital Pitas untuk mendapatkan rawatan dan kini dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi pemberita semalam.


Terdahulu, tular di beberapa kumpulan aplikasi Whatsapp meminta ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) mendoakan kesihatan Jahid, 64, juga Timbalan Presiden parti itu dengan menunjukkan gambar Jahid yang sedang dirawat di hospital.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page