• newsatmy

Menteri, timbalan menteri UMNO perlu tarik diri hari ini

28 Mac 2021 KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk diberikan jawatan dalam GLC diminta menarik diri mulai hari ini.


Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia susulan cadangan daripada bahagian-bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan.


"Cadangan daripada bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan menegaskan sekali lagi apa yang telah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT)


"MKT memutuskan bahawa kita akan putus kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


"Ia juga bererti semua ahli UMNO yang jadi menteri, timbalan menteri dan yang pegang jawatan dalam GLC mesti tarik diri mulai hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Ahad.


Ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai slogan 'No Anwar' tetapi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa berlaku pertemuan.


"Jika ada perjumpaan sekali pun (sebelum ini) tetapi sekarang 'No Anwar'. Jika dengan Presiden PKR tidak, maka dengan parti itu pun tidak," katanya.


Ditanya lagi berkaitan BN akan bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Tengku Razaleigh menegaskan bahawa sejak dari dahulu lagi parti itu bertanding secara solo.


"Kalau tak yakin macam mana kita nak bertanding? Memanglah. Sebelum ini pun kita bertanding solo.


"Penerimaan rakyat bagus, tinggal lagi kita belum berkempen sampai ke bawah. Kita akan perhebatkan lagi," katanya. -Sinar Harian