‘Mereka’ kurang senang saya tak layan desakan campur urusan Mahkamah – PM
4 Ogos 2021
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
Katanya, begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.
“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.
“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.
“Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah S.W.T dan kepada-Nya jua lah kita berserah,” kataya dalam Perutusan Khas pada Rabu.
Terdahulu, Muhyiddin berkata keabsahan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya akan dibentangkan di Dewan Rakyat melalui satu usul undi percaya, pada September depan.
Jelasnya, melalui cara ini, kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.
Menurutnya, cadangan itu telahpun dipersembahkan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, ketika menghadap di Istana Negara pada pagi tadi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT pada Selasa mengumumkan bahawa surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Senarai 12 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Beliau diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).
Comments