Mesyuarat SOM digesa bincang tingkatkan ekonomi umat Islam serantau
KOTA KINABALU, 27 Sept – Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) pertemuan tahunan tidak rasmi Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) perlu dijadikan tempat untuk merangka inisiatif yang memberi impak kepada peningkatan taraf ekonomi umat Islam di negara anggota.
Gesaan itu disuarakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam ucapannya ketika meraikan kedatangan delegasi Mesyuarat SOM, MABIMS Ke-46 yang diadakan di Sabah pada majlis makan malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, inisiatif yang lebih berkesan untuk meningkatkan semula ekonomi umat Islam penting dalam usaha memulihkan ekonomi selepas seluruh dunia terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Pembangunan ekonomi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sesebuah negara. Oleh itu, saya berharap mesyuarat ini akan menjadi tempat untuk berbincang, sekali gus mencari inisiatif bagi meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara anggota MABIMS.
“Ini kerana Mesyuarat SOM adalah forum yang amat penting untuk membincangkan isu dan cabaran umat Islam dalam kalangan negara anggota MABIMS, termasuk aspek ekonomi,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.
Hajiji berkata, pertemuan SOM, MABIMS juga penting bagi mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara Malaysia dan negara anggota MABIMS sejajar usaha membangunkan umat Islam di rantau nusantara.
“Besarlah harapan saya supaya mesyuarat ini bukan saja mengeratkan hubungan sedia ada di antara Malaysia dan negara anggota MABIMS tetapi mampu mengukuhkan lagi kesatuan dan menjadikan umat Islam di negara anggota MABIMS umat yang progresif dan cintakan kedamaian serta keharmonian.
“Saya berharap tahap kerjasama dalam membangun umat Islam di negara anggota MABIMS terus ditingkatkan khususnya dalam aspek daya tahan keagamaan dan mutu kehidupan beragama serta kesejahteraan sosioekonomi,” katanya.
Sambil mengucapkan selamat datang kepada Ketua SOM dan delegasi masing-masing, Hajiji berharap jalinan ukhuwah atas dasar Islam di antara negara anggota MABIMS terus terjalin erat dan utuh.
Beliau turut berharap delegasi mesyuarat itu mengambil peluang melawat tempat menarik dan keindahan laut serta pulau di negeri ini.
“Sabah mempunyai penduduk daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik yang berbeza serta berlainan agama.
“Perbezaan ini menjadikan Sabah negeri yang unik dan istimewa berbanding negeri lain di Malaysia. Keharmonian etnik hidup dalam suasana aman damai dan saling menghormati menjadikan Sabah pilihan utama destinasi pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.
Comments