• Arissa Azman

Milner sepatutnya dilayangkan kad kuning kedua - Guardiola

4 Oktober 2021

PEP Guardiola yakin James Milner sepatutnya diarahkan keluar padang ketika Manchester City terikat 2-2 dengan Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi, sambil berkata pasukannya mungkin tidak bertuah dalam situasi seperti itu.


Selepas dilayangkan kad kuning dalam babak pertama, Milner terselamat daripada layangan kad kuning kedua selepas kelihatan mengasari Bernardo Silva.


Insiden itu berlaku ketika kedudukan terikat 1-1 dalam babak kedua dan tidak lama selepas itu, pertahanan kanan Liverpool berkenaan - yang mengisi kekosongan ditinggalkan Trent Alexander Arnold - terlibat dengan jaringan kedua The Reds yang disudahkan Mohamed Salah.


Walaupun Kevin De Bruyne berhasil menyamakan kedudukan untuk pasukan juara bertahan EPL itu meraih satu mata, Guardiola berasakan pengadil, Paul Tierney, telah melakukan kesilapan kerana tidak melayangkan kad kuning kedua buat Milner.


"Ia sepatutnya kad kuning," kata pengurus City itu - yang turut dilihat bertekak dengan pegawai keempat, Mike Dean, sebelum dilayangkan kad kuning - kepada Sky Sports.


"Tetapi ini adalah Anfield, sama seperti Old Trafford. Dalam situasi ini, jika ia dilakukan pemain City, pasti akan dibuang padang, 100 peratus.


"Ia amat jelas. Adakalanya terdapat interpretasi tetapi ia sepatutnya kad kuning kedua," katanya.


Milner turut terlibat dalam satu insiden dalam babak kedua, di mana dia kelihatan membentes kaki Foden dalam kawasan penalti. Tiada wisel dibunyikan dalam insiden itu sebelum bekas pemain City berkenaan digantikan dengan Joe Gomez pada minit ke-78.


City menjadi pasukan yang lebih dominan dalam babak pertama tetapi tidak dapat menjaringkan sebarang gol sepanjang tempoh itu dan kelihatan lebih kendur dalam babak berikutnya.