top of page
  • cik skod

Mohd Daud Bakar pemilik saham terbesar KDA FC


ALOR SETAR,6 Sept: Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) pada Selasa mengumumkan usahawan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn Bhd.


Dalam satu kenyataan pada Isnin, KDA FC bagaimanapun berkata jumlah pegangan saham Mohd Daud yang juga tokoh kewangan Islam, di dalam kelab itu tidak boleh dimaklumkan lagi buat masa ini.


"Dr Mohd Daud telah dilantik sebagai penaung KDA FC oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 25 Nov 2021. Beliau aktif memacu KDA FC sebagai penaung melalui pendanaan kelab serta jaringan besar dengan syarikat korporat. "Fasa seterusnya, peranan beliau akan lebih besar dengan menentukan hala tuju kelab bola sepak itu ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.


Kenyataan itu turut memaklumkan, selaras dengan penswastaan kelab bola sepak di Malaysia, penambahan pegangan saham itu dilihat strategi lebih dinamik untuk menarik lebih banyak peluang perniagaan di era bola sepak moden.


"Dr Mohd Daud merupakan usahawan dalam pelbagai bidang, di samping memimpin beberapa agensi besar negara dan tepat pada masanya untuk membangunkan kelestarian kewangan, tadbir urus dan tata kelola, fasiliti, prasarana serta kualiti pemain dan kejurulatihan dalam KDA FC.

"Kelab merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan KFA, dalam memacu dengan cemerlang pasukan bola sepak Kedah dengan memperoleh kejayaan tempatan dan serantau, terutamanya dari aspek kewangan dan kemudahan infrastruktur untuk kegunaan pasukan," katanya.


Tambahnya, pemilikan saham oleh individu seperti Mohd Daud itu, adalah langkah awal KDA FC ke arah penswastaan sepenuhnya KDA FC sebelum 2023.

-- BERNAMA

bottom of page