top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Mohd Redzuan dilantik Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju

22 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) yang baharu.


Beliau telah mempengerusikan mesyuarat LPA kali pertama pada 13 Julai lalu.


Yayasan Peneraju dalam kenyataan hari ini berkata ahli LPA lain yang dilantik ialah Timbalan Pengerusi Yayasan Peneraju Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, bekas Ketua Pengarah Pelajaran serta Pengerusi Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, dan Pengerusi Heriot-Watt University Malaysia serta Skymind Holdings Bhd Datuk Yasmin Mahmood.


“Yayasan Peneraju, badan yang berperanan memimpin bakat bumiputera dengan kemahiran yang futureproof, mengatakan bahawa pelantikan ahli LPA baharu itu diharap dapat mempercepat aspirasi agensi itu dalam memupuk dan membangun modal insan dan menjadikan mereka berdaya saing dalam pelbagai sektor,” menurut kenyataan itu.


Menurut kenyataan tersebut selain Yayasan Peneraju, Mohd Redzuan turut menerajui empat badan kerajaan lain di bawah portfolionya iaitu Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).


“Berlatarbelakangkan sebagai jurutera awam terlatih, beliau mempunyai pengalaman luas di bidang kejuruteraan dan keusahawanan, beliau pernah berkhidmat di beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa dan sebelum ini merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


“Yayasan Peneraju optimis bahawa dengan pengalaman dan pengetahuan luas ahli LPA baharu, bersama dengan majlis penasihat industri, rakan strategik, pengurus dan rakan program serta institusi pengajian, program yang akan dilaksanakan akan terus memenuhi permintaan industri dan menyediakan peluang berpendapatan tinggi kepada semua segmen bakat bumiputera,” menurut kenyataan itu.


Yayasan Peneraju adalah sebuah badan yang diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), profesional dan spesialis.


Yayasan Peneraju hingga kini berjaya melatih lebih 37,000 bakat seluruh Malaysia melalui 276 program pembiayaannya dan mengurangkan jurang antara permintaan industri dengan menawarkan tenaga kerja berkualiti.


Ia juga merupakan antara agensi pembiayaan utama yang membangun dan membekalkan modal insan yang kompeten dalam pelbagai bidang termasuk perakaunan, kewangan, automotif, maritim, minyak dan gas, mekatronik, serta elektrikal dan elektronik.



--PN Online

bottom of page