top of page
  • admin

Mohon Agong ampun Najib satu desakan politik- Muhyiddin


PASIR PUTEH 9 April:Perikatan Nasional (PN) menyifatkan usaha Majlis Tertinggi (MT) UMNO memohon Yang di-Pertuan Agong menimbang pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai desakan politik.


Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun perkara tersebut terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu mempertimbangkan atau sebaliknya berhubung permohonan itu.


“Isu ini (memohon pengampunan) ada proses dan prosedur tertentu. Setahu saya siapa yang boleh memohon, namun dia (UMNO) menggunakan desakan politik,” ujarnya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat khas bersama kepimpinan PN Kelantan di Paser Putih semalam.


Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor dan barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.


Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pengesahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian permohonan Lembaga Pengampunan itu.


“Saya tidak boleh komen kerana perkara itu bersandarkan perlembagaan undang-undang,” katanya lapor Sinar Harian.


Semalam media melaporkan, MKT UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi Najib, yang juga bekas Presiden, daripada Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO yang berlangsung semalam.


Sementara itu, Muhyiddin berkata semua calon PN di Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual Julai atau Ogos ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat parti komponen PN yang bersetuju langkah sebagaimana ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.


“Semalam kita berbincang mengenai politik, persiapan menghadapi pilihan raya negeri. Alhamdulillah, nampaknya Kelantan hampir siap.

“Kita juga sudah hampir selesai perbincangan mengenai pembahagian kerusi. Ia kini dibincangkan di peringkat pusat di bawah jawatankuasa rundingan kerusi.


“Perkara lain yang dibincangkan ialah manifesto pilihan raya, calon dan logo yang akan digunakan untuk diikuti mengikut PRU15,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan kepimpinan PN Kelantan malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

bottom of page