top of page
  • newsatmy

Moon Nila mahu ubah peranan stereotaip wanita dalam filem


KUALA LUMPUR 31 julai: Pelakon wanita tempatan, Moon Nila yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records kerana melakonkan "paling banyak watak dalam satu siri drama", bertekad untuk memberi inspirasi kepada bakat muda terutama wanita bahawa mereka tidak perlu memainkan peranan yang panas atau berahi untuk berjaya dalam industri perfileman.


Bekas jururawat kelahiran Melaka yang menggunakan nama sebenarnya itu percaya walaupun godaan wanita masih wujud dalam industri, wanita yang berpegang teguh kepada nilai dan kesopanan masih boleh pergi jauh menerusi dedikasi, kerja keras dan maruah.


"Sepanjang kerjaya, saya tidak pernah berlakon dengan memakai pakaian mencolok mata atau terlibat dalam mana-mana adegan intim, saya berpegang pada nilai konservatif yang diterapkan oleh ibu saya. "Jadi, saya amat percaya bahawa wanita yang bermaruah juga boleh cemerlang dalam industri perfileman jika mereka mempunyai dedikasi dan bekerja keras dalam kehidupan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Moon Nila, 33, telah mendapat pengiktirafan menerusi siri seram tempatan bertajuk 'Iraivi Thirumagal Kaadu' dengan beliau memainkan watak sebagai wanita tua, tukang tilik, wanita kaya, pakar herba, gadis gila, doktor, penjual buku, gadis dan dewi.


Menerusi pengiktirafan berkenaan, beliau berharap mampu mengubah tanggapan salah mengenai wanita dalam industri perfileman bahawa mereka hanya boleh cemerlang dalam industri dengan memakai pakaian mencolok mata atau berlakon dalam adegan intim.


Moon Nila mendedikasikan pengiktirafan berkenaan kepada mendiang ibunya yang membimbingnya sejak kecil serta wanita yang bersama-sama mencapai kejayaan dalam industri perfileman secara bermaruah.

"Saya harap anugerah ini mampu menjadi pemangkin untuk membantu industri hiburan tempatan mencapai standard dunia dan membantu wanita keluar daripada peranan stereotaip," katanya sambil menambah bahawa negara seperti India telah menerbitkan artikel mengenai pengiktirafannya.


'Iraivi Thirumagal Kaadu' yang merupakan drama fiksyen suspen 22 episod arahan SD Puvendran telah disiarkan di saluran Astro Vinmeen HD pada 3 Mac lepas.


Moon Nila menerima pengiktirafan berkenaan pada satu majlis yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Hulu Klang, Selangor, 20 Julai lepas.


Mengenai projek terbaharunya, Moon Nila berkata beliau akan berlakon dalam siri tempatan 44 episod selain dipelawa oleh penerbit Singapura untuk berlakon dalam satu siri.

Beliau juga mahu mencuba pelbagai peranan dalam industri perfileman dengan berlakon watak 'Dasi' suatu hari nanti.


Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan filem baharu yang dibintanginya 'Senthozhan Sengkathirvaanan' yang ditayangkan pada 28 Julai di 65 pawagam di seluruh negara sebagai satu pencapaian besar dalam kerjaya lakonannya.

Diterajui oleh Govind Singh, filem seram psikologi itu turut menampilkan pelakon Kash Villanz, Shamini, Cellina Jay dan Chandinie Kaur.


-- BERNAMA

bottom of page