top of page
Writer's pictureArissa Azman

MoU titik hentikan Politiking

15 September 2021

KUALA LUMPUR: Kerjasama di antara kerajaan dengan pembangkang, disifatkan sebagai usaha penting yang mampu menghentikan ‘politiking’ yang menjejaskan kestabilan negara.


Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor turut menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam sebagai penting demi pembangunan negara dan rakyat.


Katanya, MoU itu akan menjadi panduan untuk kerajaan dan pembangkang mencari jalan menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan dihadapi sekarang akibat penularan pandemik COVID-19.


“Bagi pihak kerajaan Sabah, MoU di antara kerajaan dan pembangkang adalah terbaik dan berupaya mengenepikan perbezaan politik, menghentikan terlalu banyak berpolitik, sekali gus dapat memastikan pemulihan ekonomi berjalan lancar dan holistik.


“Ia penting, terutama ketika ini, rakyat terjejas sumber pendapatan termasuk perniagaan mereka, justeru jalan penyelesaian seperti ini adalah tindakan terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Semalam, kerajaan persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.


MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.


Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata kerjasama itu akan menjadi medan untuk duduk bersama dan berbincang mengenai apa yang terbaik kepada negara.


“Apa yang penting sekarang adalah kestabilan politik ke arah membangunkan negara, khususnya dalam aspek ekonomi terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya.


Beliau berkata, kerjasama itu juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Comments


bottom of page