top of page
  • newsatmy

MSN ambil alih Pusat Perahu Layar Hang Jebat

17 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Pusat Perahu Layar Hang Jebat di Melaka, bakal dijadikan sebagai kompleks pelayaran kedua di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) selepas Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, Kedah.


MSN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pusat perahu berkenaan akan menempatkan pelayar kebangsaan dalam kategori kelas bot lebih tinggi iaitu International 470, Laser (radial dan standard) serta Windsurfing.


"MSN akan bekerjasama dengan Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah dan Akademi Laut Malaysia (ALAM) bagi membolehkan pelayar berumur 17 tahun ke atas dapat melanjutkan pelajaran dan menjalani latihan di pusat pelayaran tersebut pada masa yang sama.


"Pusat Perahu Layar Hang Jebat diambil alih secara rasmi oleh MSN daripada pengurusan kerajaan negeri Melaka pada Julai lepas," menurut kenyataan itu.


MSN juga mahu membantu Persatuan Pelayaran Melaka mengaktifkan kompleks tersebut sebagai destinasi pelancongan air, dengan harapan membantu menggerakkan ekonomi masyarakat setempat yang merupakan kawasan tarikan pelancong, katanya.


Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengadakan lawatan ke pusat pelayaran tersebut.



-- BERNAMA

bottom of page