top of page
  • newsatmy

Muafakat Nasional wujud lagi ke? PAS tak faham-faham lagi-Zahid Hamidi

Usaha Pas untuk mewujudkan perpaduan ummah melibatkan tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu,ia kelihatan satu harsat yang murni tetapi UMNO melihat PAS sebenarnya ingin menjadi penumpang kekuatan parti UMNO dan BERSATU

Pas menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama menjalin hubungan dengan UMNO melalui Piagam Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani pada 14 September 2019. Tetapi niat baik Pas itu hakikatnya meletakkan parti itu dalam satu situasi janggal dalam percaturan politik.

Mungkin atas sebab itulah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terus memperkatakan soal Muafakat Nasional selepas bertanya adakah Muafakat Nasional masih wujud. Kali ini hujah Presiden UMNO itu melalui catatan Facebooknya dianggap ‘lebih pedas’.

Kalau diteliti setiap para catatan beliau itu, ia jelas menunjukkan Ahmad Zahid seolah-olah tidak kisah sama ada Pas mahu bekerjasama dengan UMNO atau tidak. Beliau juga terus membangkitkan soal tindakan Pas menganggotai PN dengan berkata,; ‘’…Akar umbi UMNO mempunyai sebab yang wajar berhubung ketetapan itu (tidak bekerjasama dengan Bersatu) kerana semua maklum apakah agenda terselindung penubuhan PBBM sejak September 2016. Manakala pimpinan Pas pula ‘mengisytiharkan’ kesetiaan kepada PPBM dan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassi selepas menyertai Perikatan Nasional. ‘’Sedangkan mereka juga tahu dengan jelaskan apakah agenda terselindung penubuhan PPBM seperti yang mereka tahu tentang agenda penubuhan Parti Amanah Negara (PAN).’’ Kenyataan itu menunjukkan Ahmad Zahid tidak boleh menerima tindakan Pas menjadi anggota PN. Justeru beliau berhujah,’’ UMNO tidak boleh berdepan dengan ketidak ketentuan tentang MN dalam persiapan dan persediaannya menghadapi PRU-15.’

Soalnya siapa sebenarnya berada dalam ‘ketidaktentuan’ itu Ahmad Zahid atau pemimpin-pemimpin UMNO yang sebahagiannya masih bergantung harap agar Muafakat Nasional dikekalkan dan sebahagian lagi mahu ketiga-tiga parti Melayu itu bergabung tenaga? Dan kata Ahmad Zahid dalam hujah ketiganya,’’..ramai pihak termasuk dalam kalangan pengundi atas pagar berpandangan UMNO telah dikhianati maka jika benar begitu tidak mengapa. UMNO kekal bertanding di bawah panji Barisan Nasional bersama parti komponen dan rakannya yang masih etia kepada perjuangan gabungan ini’’.

Manakala dalam hujah keempatnya beliau menegaskan, ‘’PN yang dibarisi PPBM dan Pas telahpun mengumumkan mereka telah mencapai kata sepakat. Kata sepakat antara mereka untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan DUN pada PRU-15.’’ ‘’Justeru sudah terang lagi bersuluh UMNO perlu ‘move on’ dan melangkah ke hadapan dengan segera. UMNO tidak boleh terus dalam ‘uncertainty’ (ketidaktentuan),’’ kata beliau. Penegasan Ahmad Zahid itu seolah-olah membayangkan beliau semakin menjauhkan UMNO daripada Pas memandangkan Pas sudah sepakat dengan Bersatu dan PN. Jadi soalnya kenapakah kepemimpinan Pas masih mahu terhengeh-hengeh mengharapkan kerjasama dengan UMNO? Tambahan pula dalam hujah kelima melalui catatan itu Presiden UMNO tersebut bagaikan memberi pilihan kepada Pas. Beliau berkata, ‘’adakah UMNO tidak berusaha menyelamatkan ‘The Real Muafakat Nasional’ yang dimeterai antara UMNO dan Pas pada 2019. ‘The Real Muafakat Nasional’ yang merupakan suatu kerjasama yang wajib bersandarkan kepada penyatuan ummah yang jujur lagi ikhlas. Jawapannya UMNO sentiasa berusaha. Namun tiada guna bertepuk sebelah tangan. Justeru biarlah demokrasi yang menentukan sehingga tiba PRU-15. Ini bukan manifestasi ketamakan sebaliknya biarlah ia ‘free for all’’. ‘’Tetapi UMNO tidaklah ‘rigid’. Masih ada ruang untuk mempertahankan ‘The Real Muafakat Nasional’ jika Pas bersedia. Ramai berharapkan begitu namun dalam keadaan sekarang UMNO perlu berdepan dengan realiti semasa.’’

Walaupun dilihat cuba berlapik tetapi Ahmad Zahid sebenarnya sudah memberi isyarat kepada Pas bahawa jika Pas mahu bekerjasama dengan UMNO atau mahu mengembalikan ‘The Real Muafakat Nasional’, mereka perlu meninggalkan PN atau lebih tepat lagi jangan berkawan dengan Bersatu. Justeru apa pilihan Pas? Tak kan Pas begitu terdesak sangat mahu menyatukan ummah sehingga membiarkan Ahmad Zahid berkata apa sahaja terhadap parti tersebut? Dan adakah niat Pas mahu menyatukan ummah itu benar-benar difahami oleh orang Melayu? Pas perlu faham dengan pelbagai hujah Ahmad Zahid yang seolah-olah melihat Pas ‘sebelah mata’ sedangkan Pas masih terus bercakap soal Muafakat Nasional, orang melihat Pas mahu ‘bermain di dua kolam’ dan lebih buruk lagi mahu mewujudkan situasi ‘siapa pun menang mereka akan untung’ – adakah itu yang Pas mahukan?

Bagaimanapun pada masa sama Ahmad Zahid pun cukup-cukuplah berkias-kias dalam soal hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional. Kalau beliau sebagai Presiden UMNO tidak mahu lagi parti itu meneruskan kerjasama buatlah kenyataan secara rasmi. Ia bagi memudahkan pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat membuat tindakan lanjut. Pada masa ini, mereka keliru, di sesetengah negeri kepemimpinan UMNO terus tabah mempertahankan Muafakat Nasional tetapi di peringkat pusat pucuk pimpinan membuat kenyataan yang mengelirukan mereka.

Begitu juga dengan pemimpin dan ahli Pas, mereka pun keliru juga bila kepemimpinan Pas dok bercakap soal penyatuan ummah tetapi Ahmad Zahid tak habis-habis ‘berkias-kias’ seolah-olah Pas ibarat ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Mereka juga tidak mungkin lupa bagaimana ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Ahmad Zahid yang berucap di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaikan memberi kata dua kepada Pas bersama MN atau PN.

Penulis faham ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas dikatakan ‘lebih selesa’ dengan UMNO berbanding Bersatu. Tetapi dahulupun Pas boleh bekerjasama dengan parti serpihan UMNO iaitu Semangat 46 sehingga berjaya merampas Kelantan pada 1990 dan membantu PKR memenangi lima kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN dalam PRU 1999. Pencapaian itu menunjukkan Pas mempunyai kekuatan dan keupayaan sendiri biarpun bekerjasama dengan parti mana sekalipun, jadi kenapa Pas masih mahu dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ semata-mata mahu mempertahankan Muafakat Nasional. Kalau Ahmad Zahid bercakap ‘Free For All’ dan Pas pula pernah melantunkan slogan ‘’ Pas For All’ lebih baik Pas pertahankan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional kerana di situ mereka lebih dihargai. Selepas PRU-15, berbincanglah bagaimana mahu menubuhkan kerajaan, inshaallah ketika itu perpaduan ummah dalam erti kata sebenarnya akan tercapai.

Kerana apa? Sebab ketika itu soal siapa mahu menjadi dominan sudah tidak timbul lagi kerana rakyat sudahpun membuat keputusan. Sekarang UMNO mahu menjadi dominan sebab itulah mereka menolak gagasan penyatuan ummah melibatkan Bersatu oleh Pas. Tak kan Pas tidak faham-faham lagi?

bottom of page