• Arissa

Muhyiddin yakin MBM akan terus bekerjasama dengan Kerajaan

24 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Majlis Belia Malaysia (MBM) akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk membantu membawa suara generasi muda dari peringkat akar umbi.


Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan suara golongan itu didengari serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak yang berkenaan.


“Sebagai golongan yang termasuk dalam senarai yang diberikan tumpuan oleh kerajaan khususnya ketika pandemik COVID-19, belia tentunya memerlukan perantara atau orang tengah yang boleh menjadi penyambung suara mereka di pelbagai peringkat.


“Sudah pasti, MBM selaku organisasi yang mewakili suara orang muda boleh dan telah memainkan peranannya dalam aspek ini,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-73 MBM dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook pada Jumaat.


Katanya sejak penubuhan, MBM selaku organisasi yang menaungi golongan belia telah memainkan peranan penting membantu dan membawa suara belia untuk perhatian kerajaan.


Ditubuhkan sejak tahun 1948, MBM ialah sebuah NGO yang bergerak sebagai badan induk yang menyelaraskan pertubuhan belia dan pelajar di negara ini.




--PN Online