top of page
  • newsatmy

Muktamar PAS ke-68 mungkin terakhir sebelum PRU15


ALOR SETAR,21 Ogos: Muktamar Tahunan PAS ke-68 kali ini kemungkinan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, justeru itu beberapa penekanan berkaitan gerak kerja pilihan raya akan diberikan melalui ucapan dasar yang akan disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 3 September nanti. Menurutnya, dianggarkan 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara akan hadir ke muktamar yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September akan datang.

“Jumlah itu termasuk 17 orang daripada Majlis Syura Ulamak, 50 jawatankuasa kerja PAS Pusat dan 14 Pesuruhjaya PAS negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan,” jelasnya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah,


Di samping itu, ujarnya setakat ini usul-usul yang diterima belum lagi dimuktamadkan sama ada ditolak, diterima dengan bahas ataupun dengan bahas.

“Terdapat juga usul yang menyentuh berkenaan isu Muafakat Nasional (MN) bersama Umno namun setakat ini tiada yang bercanggah dengan pendirian PAS,” tambah beliau lagi.

Katanya, antara tetamu jemputan pada majlis perasmian nanti termasuklah wakil-wakil parti Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, Umno dan Gerakan termasuk parti komponen di Sabah dan Sarawak.


Selain ia juga melibatkan wakil parti-parti gerakan Islam antarabangsa, kedutaan asing dan parti-parti politik antarabangsa.

“Beberapa acara telah disusun seawal 31 Ogos untuk memeriahkan muktamar kali ini dan akan diadakan di pekarangan dan padang Kompleks PAS Kedah melibatkan penyertaan orang ramai dari setiap lapisan masyarakat,” kata beliau.


Antaranya karvinal jualan dan pameran melibatkan pelbagai syarikat termasuk anak syarikat kerajaan (GLC) Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga 4 September.

Himpunan Munajat serta solat Maghrib dan Isyak berjemaah (31 Ogos), perlawanan bola sepak antara Kedah dan Pulau Pinang (2 September) dan forum perdana ‘Islam Memimpin Ummah’ (1 September) yang menampilkan ahli panel Ustaz Abdullah Khairi dan Pencetus Ummah (PU) Syed (Syed Mohd Bakri Syed Ishak).


Dalam masa yang sama diadakan Pelancaran Jentera Pilihan Raya peringkat pusat yang dijangkakan kehadiran menjangkau 30,000 orang akan diadakan pada malam 3 September.

Sementara itu, katanya lagi muktamar tahunan dewan-dewan akan diadakan di tempat berasingan bermula 1 dan 2 September.


Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat akan diadakan pada 2 September di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, pada hari yang sama juga akan berlangsung Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia di Dewan Al-Hana, Sik.


Manakala Muktamar Tahunan Dewan Pemuda pula akan akan berlangsung di Raia Hotel, Alor Setar selama dua hari bermula 1 hingga 2 September.


Seiring dengan itu juga untuk pertama kali akan diadakan Sidang Assabiqun pada 1 September di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar dan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pada 2 September di Dewan Gandhi, Sungai Petani, jam 4.00 petang.

bottom of page