• Hanna

Multimedia perkenal program bantuan prihatin bantu ringankan beban petugas produksi dan perfileman

27 Julai 2021

Kumpulan Multimedia memperkenalkan program bantuan bagi meringankan beban petugas dan kakitangan industri televisyen dan perfileman yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


Menerusi program itu, bantuan berupa makanan dan keperluan harian diberikan kepada kru produksi filem dan televisyen yang terkesan.


Setakat ini, sebanyak 202 bekalan makanan pada fasa pertama program terbabit telah diedarkan dan sebanyak 300 lagi diedarkan pada fasa kedua.


"Kita menghadapi ancaman kesihatan yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Sistem kesihatan, ekonomi dan kehidupan seharian kita terjejas teruk.


"Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita saling memerlukan satu sama lain. Selagi keadaan belum reda, kita mesti bertindak bersama dan saling menjaga," kata mereka menerusi satu hantaran di Facebook.


Program prihatin ini berjaya menarik perhatian malah turut mendapat sokongan Studio Iskandar Malaysia (IMS), selain rakan industri dalam dan luar negara.


Fasa ketiga program ini akan dilancarkan dalam masa terdekat.


Multimedia turut bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Klang untuk mengedarkan makanan kepada kira-kira 500 petugas perubatan, pegawai polis dan tentera setiap hari sebagai tanda penghargaan di atas kerja keras dan pengorbanan mereka.