top of page
Writer's pictureNihaba

Munasabah atau tidak sektor ekonomi ditutup sepenuhnya?


Ramai yang menyuarakan usaha kerajaan melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 mungkin tidak akan berhasil jika ramai tidak sanggup berkorban selama dua minggu untuk menutup seketika sektor ekonomi apabila pada 1 Jun lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan 95,142 syarikat mendapat kebenaran untuk beroperasi semasa PKP penuh, menjadikan hampir 20 % syarikat berdaftar dengan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) mendapat kelulusan.


Nada mereka seiring dengan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk seri Utama Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat yang menjangkakan jumlah itu akan bertambah yang mana secara langsung bertentangan dengan matlamat mengadakan PKP penuh. Tindakan kerajaan terus membenarkan sektor pembuatan atau perkilangan terpilih terus beroperasi walaupun dalam keadaan terhad akan terus mendatangkan risiko jangkitan, ujarnya lagi.


Penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial mesti berlaku secara menyeluruh kecuali sektor makanan, pertanian dan kesihatan. Ia penting untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan yang sangat kritikal pada waktu ini. Kepentingan sektor perkilangan dan pembinaan tidak lebih penting dari sektor lain yang rentan dan berisiko lumpuh sepanjang pelaksanaan perintah pergerakan terhad secara menyeluruh ini, tetapi sejauh manakah kebenaran dakwaan ini?


Sebenarnya, penutupan ekonomi secara menyeluruh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan memudaratkan golongan rentan dan mudah terjejas kerana sekiranya sektor utama seperti perkilangan tidak beroperasi, ia bakal membawa impak berpanjangan dan berlarutan kepada sektor utama ekonomi. PKP 1.0 telah menyebabkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi dan apa yang lebih membimbangkan adalah kadar pengangguran yang telah melonjak naik sehingga 5.3 peratus (826,000) pada Mei 2020. Ini merupakan kadar penganguran yang tertinggi sejak krisis komoditi dalam 1980-an. Jika ia dilaksanakan semula, dianggarkan lebih 1 juta rakyat Malaysia akan menganggur. Lebih membimbangkan pengangguran ini adalah tidak sekata dan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita serta mereka yang berkemahiran rendah. Di samping berisiko pengangguran, 2.8 juta rakyat yang merangkumi bekerja sendiri, PKS mikro, serta usahawan kecil akan lebih terjejas melalui pengurangan pendapatan. Ini kerana ketidaktentuan berhubung kelangsungan perniagaan bakal menyebabkan sektor swasta menanggung pelaburan dan penggajian pekerja. Malah PKP 1.0 turut memberi kesan kepada kos sosial dan impak signifikan kepada tahap simpanan dan kewangan rakyat serta syarikat, dimana 82 peratus daripada sektor swasta hanya mempunyai simpanan yang dapat menampung selama dua bulan, manakala 8 peratus perniagaan dilaporkan tidak mendapat hasil jualan dalam tempoh berkenaan.


Jika dilihat dari kadar pemulihan ekonomi negara dan dunia, ia diunjurkan berkembang enam peratus pada tahun ini, sementara perdagangan dunia berkembang sebanyak 8.4 peratus. Adalah sangat penting untuk kerajaan memastikan ekonomi terutamanya yang berasaskan eksport dapat terus beroperasi untuk memanfaatkan pertumbuhan permintaan antarabangsa dan selanjutnya menjana peluang pekerjaan sambil kita menguruskan pandemik COVID-19.


Ini pendapat saya, apa pula pendapat orang lain? Adakah negara-negara jiran menggunakan kaedah yang sama? Di Singapura, tiada langsung istilah tutup sektor ekonomi kerana industri di sana tetap beroperasi seperti biasa namun dengan pengawalan yang ketat yang perlu dipatuhi oleh setiap majikan. Dijangka Singapura akan membuka semula 75 peratus ekonominya pada Selasa ini, sebagai sebahagian daripada pendekatan terkawal fasa ketiga sejak negara itu melaksanakan sekatan pergerakan pada April. Sektor kewangan, pembuatan elektronik serta logistik kembali beroperasi dengan tahap keselamatan yang ketat setelah ia ditutup dua bulan untuk mencegah penyebaran COVID-19. Bagaimanapun, kebanyakan operasi kedai runcit, perkhidmatan peribadi, makan di restoran serta aktiviti sosial masih tidak dibenarkan. Jika dibandingkan dengan negara kita tiada apapun yang berbeza dan mereka juga memilih untuk tidak menutup sepenuhnya sektor ekonomi mereka seperti apa yang dilaksanakan di negara kita.


Thailand, ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi 2020 selepas mencatatkan kadar paling perlahan dalam tempoh lima tahun pada 2019. Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDC) Thailand merendahkan jangkaan bagi pertumbuhan ekonomi 2020 kepada 1.5 hingga 2.5 peratus daripada 2.7 hingga 3.7 peratus susulan kebimbangan mengenai penularan jangkitan COVID-19, yang menjejaskan eksport dan mewujudkan ketidaktentuan dalam ekonomi global. Thailand turut menurunkan prospek pertumbuhan eksportnya kepada 1.4 peratus daripada 2.3 peratus yang diunjurkan pada November lepas.


Ini seperti yang dijangka kerana ekonomi mereka banyak disumbangkan melalui sektor perlancongan dimana pelancong yang tiba di sana berkurang kepada 37 juta daripada 39.8 juta tahun lepas. Lembaga Pelancongan Thailand pula mengunjurkan jumlah pelancong asing susut sebanyak lima juta tahun ini serta kerugian perolehan pelancongan boleh mencecah 500 bilion baht. Untuk sektor ekonomi lain, tidak ada perubahan daripada pengawalan sebelum ini. Ini kerana Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha menolak cadangan penutupan ibu negara bagi mengatasi penyebaran pandemik, malah menekankan usaha pemberian vaksin dipercepatkan dan menegaskan sekatan yang ketat hanya akan merugikan sektor ekonomi, yang kini mengalami krisis terburuknya dalam tempoh lebih dua dekad. Namun, untuk premis makanan, Thailand mengarahkan semua restoran di ibu negaranya, Bangkok dan wilayah berhampiran menutup operasi mereka selama sebulan berikutan langkah sekatan pergerakan dalam usaha menyekat penyebaran COVID-19. Manakala pusat membeli-belah di Bangkok dan wilayah berhampiran diarahkan tutup jam 9 malam. Semua perhimpunan lebih dari 20 orang, seminar dan persidangan dilarang sama sekali di wilayah yang sama. Lebih berani lagi, demi mengekang implikasi buruk ekonomi yang dijanakan melalui sektor perlancongan, Thailand bercadang untuk membuka semua sempadannya secara beransur-ansur kepada pelancong asing yang sudah di vaksin tanpa sebarang kuarantin dua minggu wajib yang ditetapkan sebelum ini. Malah, mengikut rancangan, negara itu mahu membuka semula sempadan negara untuk pelancongan bagi pulau peranginan Phuket bermula minggu depan.


Perbandingan yang dibuat ini sedikit sebanyak dapat membuka minda kritis masyarakat dan rakyat mengapa penutupan sektor ekonomi secara menyeluruh tidak boleh dibuat kerana ia pastinya akan memberi kesan domino kepada rantaian ekonomi negara. Tambahan pula, pelabur-pelabur asing pastinya akan mencari lokasi niaga serantau yang lebih strategik selain dari negara kita jika dasar negara tidak memberi kelebihan dan keuntungan kepada mereka. Pastinya, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menarik kembali pelaburan asing yang sudah meninggalkan kita.


Tidak dapat dinafikan yang kita telah bereksperimen dengan pelbagai SOP selama lebih setahun. Namun kes semakin meningkat dengan pelbagai variant of concern. Malah jika dilihat daripada statistik penyumbang kes Covid-19, sektor ekonomi adalah penyumbang terbesar sebanyak 115 kluster dengan 5,392 kes telah dilaporkan setakat Mei 2021.



Kita tidak mahu sektor ekonomi lumpuh dan pada masa yang sama kita tidak mahu kes Covid-19 terus meningkat disebabkan sektor industri pembuatan dan pembinaan. Eksperimen SOP sedang kita lakukan sudah hampir setahun lamanya namun tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Rakyat semakin penat dan tertekan dari segi ekonomi, kemurungan dan sakit mental semakin membimbangkan, kes bunuh diri semakin meningkat, bendera putih dikibarkan di merata tempat dengan banyaknya, kerajaan tidak boleh bertangguh lagi dan sepatutnya menjadikan Singapura sebagai penanda aras bagaimana mereka boleh mengekang kes pandemik Covid-19 di sektor pembuatan dan pembinaan.


Sudah tiba masanya pekerja-pekerja diberikan pilihan, samada untuk meneruskan pekerjaan dan menjana pendapatan melalui sektor yang diceburi atau diberikan pilihan untuk bercuti tanpa gaji. Kita boleh saja mempraktiskan ‘Lockdown kendiri’ kepada kilang-kilang ini. Ini lebih kepada Strategi Gelembung & Tutup Kilang.


Strategi ini menyasarkan agar kesemua pekerja industri diasingkan daripada persekitaran awam. Seperti apa yang dilakukan di Singapura, semenjak tahun lepas hingga ke hari ini, pekerja dan buruh dari Malaysia tidak dibenarkan pulang dari Malaysia. Mereka perlu memilih pendapatan mereka atau bercuti tanpa gaji. Disebabkan ini, ramai rakyat Malaysia yang sudah setahun lebih tidak pulang dan bertemu keluarga.


Di Thailand, ia dilaksanakan dalam tempoh 28 hari dimana di dalam tempoh itu, pekerja-pekerja tidak dibenarkan atau dilarang keluar dari kawasan penempatan kilang. Dengan kata lain, pekerja tidak dibenarkan bersama keluarga bagi mengawal penularan pandemik Covid19 dan dalam masa yang sama industri boleh beroperasi seperti biasa.


Jika hendak diimplementasikan di Malaysia, setiap kilang dan industri yang mahu beroperasi wajib menyediakan bas, kenderaan dan tempat tinggal pekerja kilang selama sebulan. Di akhir tempoh kuarantin, sebelum pulang ke pangkuan keluarga, para pekerja dikehendaki membuat ujian saringan. Majikan boleh menyewa hotel sebagai tempat tinggal pekerja mereka ketika tempoh ini dan pastinya dapat membantu meenghidupkan kembali bukan sahaja industri perhotelan, malah industri pengangkutan juga tidak terkecuali.


Jikalau saya seorang pemain industri pembuatan dan pembinaan atau terlibat dengan sektor perkilangan, pastinya saya lebih rela menyediakan ini semua. Apalah sangat tambahan kos operasi jika hendak dibandingkan bakal menanggung kerugian berbilion ringgit dengan dasar kerajaan yang sedia ada. Anda di luar sana bagaimana pula?





--PN Online


ความคิดเห็น


bottom of page