top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Naib Presiden UMNO mengaku Bersatu tak pinggir ummah, Melayu

10 NOVEMBER 2021

Kepimpinan UMNO terus melahirkan kekecewaan mereka susulan keputusan PAS untuk bersama Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Sambil menyerang parti Islam itu, kepemimpinan UMNO mengikut jejak presiden mereka Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengungkit hubungan persefahaman kedua-dua parti di dalam Muafakat Nasional (MN).


Terbaharu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengulas keputusan PAS untuk bersama PN – gabungan parti politik berdaftar – bukan bersama UMNO di dalam MN yang tidak berdaftar.


Pemimpin UMNO juga terus menjadikan alasan kewujudan Bersatu untuk menggantikan UMNO, sebagaimana kata Khaled dalam kenyataannya.


Bekas Menteri Besar Johor itu bagaimanapun mengakui Bersatu tidak membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu.


“UMNO tegas untuk tidak bekerjsama dengan PPBM (Bersatu) bukan kerana ia membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu.


“Tetapi kerana PPBM itu dibidani kelahirannya untuk mengganti UMNO. Ia secara terang dan jelas, seteru UMNO,” katanya sambil meminta PAS untuk mengerti kedudukan itu.


Khaled juga berkata keputusan PAS memilih bersama PN membuktikan MN hanya wujud pada nama, tidak pada semangatnya, sementara laungan demi perpaduan hanyalah halwa telinga.


“Kerana itu UMNO tidak memerlukan PAS untuk mendamaikan ia dengan PPBM. Seperti UMNO juga tidak pernah mengusahakan damai antara PAS dan Amanah demi kepentingan ummah kerana UMNO tahu sejarah keduanya.


“PAS tidak boleh mengikat UMNO dengan MN dan pada masa yang sama mendambakan PN. PAS wajar terus dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan apa yang ia kehendaki.


“Dalam politik, tiada parti yang patut mencari keuntungan dari pelbagai pihak, dalam pelbagai keadaan dan pada setiap masa,” katanya.


Terdahulu, Zahid juga mengeluarkan kenyataan terhadap keputusan PAS yang memilih bekerjasama dengan Bersatu menerusi PN.


Mendakwa UMNO tidak berhasrat mendesak atau mengugut PAS supaya tidak bersama Bersatu, Zahid dalam kenyataannya membangkitkan isu kerjasama PAS-Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka.

bottom of page