top of page
  • newsatmy

Najib dakwa PH ketandusan isu besar, mahu jadikan projek LCS ‘senjata’ PRU15

8 Ogos

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa Pakatan Harapan (PH) terpaksa memainkan propaganda berhubung projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) sebagai modal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana sudah ketandusan isu.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata PH yang kini berada di kedudukan lemah untuk menghadapi PRU15 berusaha menjadikan kelewatan projek LCS ini sebagai isu besar yang baharu.

“Lalu (LCS) dijadikan isu propaganda sebelum PRU15 dengan pelbagai tohmahan kenapa kapal belum siap.


“Kamu (PH) yang tangguh, kamu yang bekukan dan kamu juga yang tanya kenapa kapal-kapal belum siap?

“Jijiknya permainan mereka tetapi ianya memberi kesan kepada kepentingan dan kesediaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan keselamatan negara,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Najib, projek LCS telah ditangguhkan Kerajaan PH pada tahap pembinaan 55.7 peratus sebaik sahaja menang PRU14 dan akhirnya dibekukan pada September 2019.

Beliau berkata, Kerajaan PH tidak bertindak dan hanya ‘melihat’ sahaja projek itu ditangguhkan dan kapal pertama tidak diserahkan seperti dijadualkan pada tahun 2019.

“Sepatutnya sebagai kerajaan masa itu mereka patut pastikan kapal diserah seperti dijadualkan – bukan tak buat apa-apa dan tak berbunyi masa itu.

“Persoalannya ialah kenapa PH membisu pada tahun 2019 itu? Langsung tak ada berita.

“Projek hanya disambung semula pada Mei 2022 oleh kerajaan hari ini apabila kontrak ditandatangan untuk sambung projek ditanda tangan selepas pandemik Covid pada tahun 2020 dan 2021,” katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, beliau sudah menyoalkan perkara sama kepada Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh dan PAC sebanyak empat kali namun tidak dijawab sehingga kini.

“Projek sudah berada pada tahap kemajuan 44% iaitu fasa penamaan dan pelancaran ke air pada Ogos 2017. Kapal boleh dilihat dan boleh disentuh masa itu.

“Bukan seperti tahap kemajuan projek terowong Pulau Pinang RM6.3 bilion yang tetap 0% pada hari ini biarpun kontrak sudah ditandatangan pada tahun 2013 di mana satu inci jalan atau terowong tidak dapat dilihat atau disentuh,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, perlu diingatkan juga bahawa kapal pertama hanya dijadualkan untuk diserah kepada TLDM pada tahun 2019 iaitu selepas kerajaan bertukar tangan selepas PRU14, bukan sebelumnya.

“Perlu ingat juga bahawa syarikat Boustead ini milik LTAT. Segala keuntungan juga mengalir ke LTAT (bukan kroni sesiapa tetapi kroni TLDM).

“Dengan dividen-dividen dan bonus tinggi cecah 12% sepanjang tempoh saya PM sebelum jatuh ke 2% pada tahun 2018 dan 2019 bawah kerajaan PH,” katanya

bottom of page