top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Najib sudah dihukum tapi masih tak jalani hukuman - Tun M

2 NOVEMBER 2021

Ia suatu yang luar biasa walaupun Datuk Seri Najib Razak sudah dijatuhi hukuman penjara terhadap sabitan kes mahkamahnya tetapi masih tidak menjalani hukuman tersebut, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dr Mahathir mempertikai keistimewaan diberikan kepada bekas Presiden UMNO itu yang masih bebas tidak disumbat ke penjara walaupun sudah didapati bersalah, sebaliknya kerajaan membenarkannya ke luar negara.


“Mahkamah mendapati Perdana Menteri Keenam bersalah. Itu keputusan mahkamah.


“Selagi ia tidak didapati tidak bersalah, ia bersalah. Ia patut jalan hukuman. Ada rakyat Malaysia yang belum pun dicaj telah dimasuk dalam tahanan, kenapa tidak orang yang sudah pun dihukum salah menjalani hukuman. Dibenar keluar negara pula,” kata mantan Perdana Menteri dua kali itu di Dewan Rakyat hari ini.


Untuk rekod, Najib sudah dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi beberapa pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International.


Bagaimanapun, Najib diberikan penangguhan hukuman selepas membuat rayuan terhadap sabitan kesnya yang sedang berjalan di Mahkamah Rayuan.


Baru-baru ini, permohonan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsanya mendapat kebenaran mahkamah atas alasan mahu melawat anak perempuannya bersalin di Singapura.


Pemimpin pembangkang menyindir alasan Najib tersebut dengan melabelnya sebagai ‘mak bidan’ yang menyebabkan beliau marah dengan kritikan tersebut.


Dr Mahathirjuga beberapa kali mempertikaikan penangguhan proses rayuan di mahkamah selain turut mengkritik keputusan yang membenarkannya dan beberapa kenamaan lain untuk melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.


“Sudah hampir satu tahun rayuan dibuat. Tetapi belum ada keputusan dibuat.

“Dengan izin ‘Justice delayed is justice denied’,” tambahnya.


Sebelum ini, Dr Mahathir membidas Najib sebagai penjenayah VIP pertama negara yang mendapat layanan istimewa dari kerajaan yang sedang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga satu parti dengan Najib iaitu UMNO.

bottom of page