• newsatmy

Nama Fazura 'trending' cari lemang

29 April 2021

KUALA LUMPUR: Aktres popular, Nur Fazura terkejut apabila namanya 'trending' nombor satu dalam laman Twitter, malam tadi.

Menjelaskannya, Fazura berkata, dia menyangka situasi itu berlaku berikutan ciapan mengenai lemang yang dibuat disalah tafsir hingga menjadi bahan jenaka warga maya.

"Jujurnya, saya memang tidak tahu nama saya trending dalam Twitter. Secara kebetulan, saya tidak bekerja dan memegang telefon, semalam. Anak, Nur Fatima Aisya pula baru tumbuh gigi, jadi saya banyak menghabiskan masa dengannya.

"Saya dapat tahu nama saya trending selepas dimaklumkan teman-teman, selain memeriksanya sendiri. Risau juga mengingatkan perkara ini. "Saya fikir adakah saya salah bual mengenai lemang atau salah taip ayat. Tetapi, saya memang teringin nak makan lemang lembut dan lemak masin, semalam. Itu makanan kegemaran saya.

"Masa melakukan ciapan, saya fikir banyak kali, bimbang salah tafsir dan menjadi bahan jenaka," kata Fazura ketika ditemui pada majlis meraikan anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Cahaya Kasih di Suria KLCC, hari ini. Walaupun namanya menjadi bahan bualan warga maya, namun pelakon Dendam Pontianak itu tidak berhasrat untuk mengetahui lebih lanjut punca kejadian.

"Saya tak baca sangat, jadi selebihnya mengenai punca nama trending saya tidak tahu," ujarnya.

Pada majlis itu, Fazura dan suaminya, Fattah Amin yang juga duta Bata Malaysia mengagihkan sepasang kasut dan duit raya kepada 20 kanak-kanak yang juga penghuni rumah kebajikan berkenaan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Mengulas program amal dijayakannya, penyanyi Bisa Apa itu berkata, program itu adalah antara komitmen yang perlu dilakukan sebagai duta.

"Perancangan untuk program amal ini sudah dibuat, tahun lalu tetapi terpaksa ditunda kerana pandemik COVID-19.

"Pemilihan rumah kebajikan ini dibuat atas perbincangan bersama antara kami dan Bata.


Rumah kebajikan ini dipilih kerana ia kurang diberi perhatian berbanding yang lain," ujarnya.

-Berita Harian