top of page
  • newsatmy

Neelofa, PU Riz mengaku tidak bersalah langgar SOP PKPB

20 Mei 2021

SEREMBAN: Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini.


Pasangan tersebut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mahyun Yusof di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis.


Mengikut kertas pertuduhan, Neelofa dan Muhammad Haris didakwa gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual ketika masuk ke sebuah premis di Nilai, Negeri Sembilan pada 2 Mei lepas.


PU Riz juga didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP PKPB.


Sekiranya disabitkan bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali untuk setiap pertuduhan.


Pihak pendakwaan melalui Nor Azizah Aling memohon jaminan RM20,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira kes tersebut mendapat perhatian umum dan kes COVID-19 yang masih tinggi.


Begitupun, pasukan pembelaan diwakili M Haresh membantah dan meminta tiada jaminan dikenakan atas alasan kes tersebut bukanlah kes jenayah namun hanya melibatkan saman.


Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret kemudian menetapkan PU Riz yang menghadapi dua pertuduhan dikenakan ikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan.


Manakala, Neelofa yang berdepan satu pertuduhan pula dikenakan ikat jamin RM5,000 meskipun pihak pendakwaan memohon jaminan RM20,000 dikenakan kepada kedua-dua tertuduh.


Kedua-dua tertuduh telah membayar jaminan tersebut dan dilihat meninggalkan kompleks mahkamah kira-kira jam 10.10 pagi.


Sebutan semula kes dan serahan dokumen daripada Timbalan Pendakwa Raya adalah pada 4 Jun depan.


Kes tersebut dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim Hashim manakala M Haresh menegetuai pasukan pembelaan mewakili Neelofa dan Muhammad Haris.


Isu pelanggaran SOP PKPB pasangan itu tular di media sosial apabila Neelofa dikatakan memuat naik gambar dan video berada di sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei lalu.


Neelofa dan suaminya didakwa setelah gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual ketika masuk ke premis berkenaan.


Muhammad Haris didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP PKPB.

-Astro Awani

bottom of page